PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan jelajah Diplomasi Madani ke China bagi mengadakan lawatan kerja selama tiga hari di Shanghai dan Hangzhou atas jemputan Premier China, Li Qiang.
Anwar berkata, lawatan itu akan diisi dengan mesyuarat dua hala bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama strategik antara Malaysia dengan China.
Menurutnya, beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat terkemuka bagi menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi ke Malaysia.
“Selain mesyuarat dua hala untuk memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama dalam pelbagai bidang strategik antara Malaysia dan China, pertemuan bersama wakil syarikat-syarikat terkemuka bakal diadakan demi menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, beliau turut akan menghadiri WorldSkills Competition Shanghai 2026 bagi memberikan sokongan secara langsung kepada peserta Malaysia yang bertanding dalam pertandingan berkenaan.
Di Hangzhou pula, katanya, beliau dijadual menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) yang menyaksikan Malaysia menjadi antara negara tetamu kehormat atas jemputan kerajaan China.
“Moga lawatan kerja selama tiga hari ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan membuahkan hasil yang positif buat kedua-dua negara, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN











