MELAKA: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta tahun ini kepada 5,812 penerima bantuan masyarakat Cina dalam bentuk kebajikan sektor ekonomi dan pendidikan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia membuktikan komitmen kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana komuniti termasuk masyarakat Cina dalam pembangunan negeri ini.
Menurutnya, walaupun populasi kaum Cina di Melaka mencatatkan seramai 203,400 orang iaitu sekitar 19.42 peratus sahaja, namun denyut nadi mereka sentiasa diberi perhatian dan dibantu sewajarnya.
“Walaupun peratusannya kurang daripada 25 peratus, namun sumbangan komuniti Cina dalam pembangunan di Melaka amat besar nilainya.
“Setiap tahun, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan khas berjumlah RM200,000 kepada 1,000 penerima yang layak menerusi Tabung Amanah Kebajikan Negeri Melaka bagi meringankan beban masyarakat Cina untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
“Ini membuktikan hasrat utama kerajaan negeri adalah sentiasa mendahulukan keperluan rakyat sehingga ke akar umbi tanpa mengira latar belakang bagi memastikan kebajikan rakyat Melaka sentiasa terpelihara dan sejahtera,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 Peringkat Negeri di pekarangan Malim Food Town, Taman Malim Jaya di sini, malam tadi.
Tambah Ab. Rauf, penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berlainan setiap tahun bagi membolehkan rakyat merasai kemeriahannya.
Menurutnya, setakat ini sambutan telah diadakan di Machap Jaya pada 2023 diikuti Banda Hilir tahun lalu dan Kesidang tahun ini.
Tetamu yang hadir dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik antaranya tarian naga dan singa, tarian kebudayaan dan pertunjukan bunga api serta diberi kupon RM15 untuk membeli juadah disediakan. – UTUSAN