KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam menolak permohonan isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid yang dibuat di bawah Seksyen 30 Akta Kehakiman 1964 adalah tidak bermerit.
“Mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan pemohon kerana tiada isu Perlembagaan yang berbangkit dalam kes ini dan prinsip keadilan asas terhadap pemohon masih terjamin di sisi undang-undang,” kata hakim itu.
Pada 29 Februari lalu, Na’imah memfailkan notis usul untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi berkaitan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 kepada Mahkamah Tinggi.
Persoalan itu adalah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM melanggar hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan diri dengan suatu kesalahan dan hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan dalam suatu kesalahan yang akan digunakan dalam prosiding terhadapnya serta hak dirinya untuk mendapat perbicaraan adil.
Susulan penolakan itu, mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan kes yang dijadualkan berlangsung selama sembilan hari bermula 19 November ini sehingga 5 Februari 2026.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihak pendakwaan akan mengemukakan seramai 11 saksi.
Pada 23 Januari lalu, Na’imah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki oleh SPRM Disember tahun lalu.










