KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia memasang satu lagi perangkap untuk menangkap seekor buaya di Sungai Klang, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Perhilitan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ishak Muhamad berkata, perangkap kedua ini juga menggunakan umpan ayam hidup.
“Perangkap pertama masih dipasang berhampiran sebuah pusat beli-belah terkenal.
“Usaha menangkap reptilia itu masih dijalankan pasukan operasi dengan pemasangan perangkap kedua di sungai sekitar Seputeh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, Perhilitan turut menggunakan dron untuk melihat kedudukan buaya berkenaan.
20 Februari lalu, Jabatan Perhilitan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memasang perangkap untuk menangkap seekor buaya di sungai terbabit.
Perhilitan turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan tersebut sehingga buaya itu berjaya ditangkap dengan selamat.
Berdasarkan rakaman video yang tular sejak beberapa hari lepas, Jabatan Perhilitan mengesyaki ia adalah buaya yang sama yang tular dilihat berhampiran Masjid Jamek di sini.
Pada 8 Februari, tular di media sosial video menunjukkan seekor buaya di sungai berhampiran Masjid Jamek.- UTUSAN