Percepat projek bina jalan baharu Gua Musang-Jeli

Percepat projek bina jalan baharu Gua Musang-Jeli

PENDUDUK tempatan dan pengguna jalan raya menggunakan jalan sementara yang strukturnya diperbuat daripada batu selepas jalan di Kilometer 35 Jalan Gua Musang-Jeli runtuh. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung di sekitar mukim Jerek di sini, memohon supaya projek pembinaan jalan baharu di Kilometer 35 Jalan Gua Musang-Jeli dipercepat untuk kemudahan pengguna menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Jerek, Abd. Razak Ramli berkata, laluan itu  menjadi sangat sibuk apabila tiba musim perayaan termasuk cuti sekolah, baru-baru ini.

Katanya, sejak lebih dua bulan lalu, penduduk tempatan dan pengguna jalan raya menggunakan laluan sementara yang strukturnya diperbuat daripada batu dan kayu balak.

“Semua kenderaan termasuk kenderaan berat tertumpu kepada jalan sementara. Dalam keadaaan cuaca panas sekarang jalan terbabit menjadi berdebu dan sangat membahayakan pengguna jalan terutama yang baru pertama kali melaluinya.

“Kami harap pembinaan dan proses membaiki jalan ini dapat disegerakan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna Jalan Gua Musang-Jeli,” katanya ketika ditemui di Kampung Jerek, semalam.

Seorang penduduk tempatan, Mohd. Amin Che Mohamad, 40, berkata, sepanjang tempoh menggunakan laluan sementara, pengguna berdepan risiko keselamatan apabila terpaksa berselisih dengan kenderaan berat dan jalan berdebu.

Katanya, sejak jalan itu runtuh, sudah terdapat dua kes kemalangan kereta dan motosikal yang hampir meragut nyawa pengguna jalan raya.

“Jalan sementara yang disediakan juga berisiko kerana kekurangan papan tanda keselamatan bagi memberi amaran awal kepada pengguna jalan raya supaya memperlahan kenderaan mereka. 

“Kami yang biasa melalui jalan ini atau tinggal di kawasan ini sudah biasa dengan keadaan jalan sementara, tetapi bagi orang luar mereka keliru dengan keadaan jalan sehingga ada pemandu yang hilang kawalan,” katanya.

Abdul Wahab Salleh, 70, kesesakan teruk dijangka berlaku di jalan sementara itu kerana laluan terbabit tidak dapat menampung pertambahan mendadak kenderaan. 

“Kebiasaannya jalan ini menjadi pilihan perantau dari Kuala Lumpur  untuk pulang ke Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah seterusnya ke Kota Bharu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung di sekitar mukim Jereki terjejas apabila Jalan Gua Musang-Jeli yang menjadi penghubung utama mereka runtuh akibat mendapan tanah dan tanah runtuh akibat hujan berterusan hujung November tahun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN