Warga Felda terima tujuh insentif RM2 bilion 

Warga Felda terima tujuh insentif RM2 bilion 

ANWAR Ibrahim menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Peneroka 2026 dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di Maran, Pahang, semalam. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Warga Felda menikmati tujuh insentif khas melibatkan peruntukan hampir RM2 bilion termasuk geran penghapusan hutang peneroka, pembinaan perumahan generasi kedua, pendidikan, kesihatan dan literasi digital. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman tersebut sempena Sambutan Hari Peneroka 2026 dan 70 Tahun Felda yang merangkumi geran RM990 juta untuk bayaran balik pinjaman Sukuk termasuk penghapusan hutang peneroka.

Anwar juga mengumumkan peruntukan RM150 juta untuk menyiapkan projek terbengkalai Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan RM20 juta untuk Projek Sentuhan Kasih Felda (SKF) yang melibatkan dua lokasi iaitu di Laka Selatan, Kedah dan Palong 16, Negeri Sembilan.

“Untuk Insentif kedua, kerajaan memahami kegelisahan generasi baharu Felda berhubung isu perumahan, khususnya melibatkan konsep pembinaan Dua Rumah di atas Satu Lot (2R1L).

“Kerajaan menubuhkan jawatankuasa bagi menyelesaikan isu legasi berkaitan lima inisiatif strategik utama yang melibatkan perumah generasi kedua peneroka,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka 2026 dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di sini semalam. 

Menyentuh insentif ketiga, Anwar berkata, sejak penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) dahulu, perubahan model penjualan minyak sawit mentah menyebabkan keuntungan kilang sawit merudum sehingga menjejaskan 28 peratus ekuiti milik Koperasi Permodalan FELDA (KPF). 

Katanya, kerajaan mengembalikan semula model penjualan minyak sawit mentah tersebut kepada sistem asal seperti sebelum penyenaraian FGV yang akan memberi manfaat unjuran pendapatan tambahan sehingga RM42 juta kepada seluruh warga Peneroka Felda melalui KPF.

“Untuk inisiatif keempat, bagi memastikan kebajikan mereka terbela dan moral kerja mereka melonjak tinggi, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan besar berjumlah RM450 juta bagi tempoh tiga tahun untuk membiayai projek baik pulih dan bina baharu rumah petugas Felda di tanah rancangan secara berperingkat,” katanya. 

Katanya, insentif kelima pula membabitkan manfaat literasi digital kepada warga peneroka melalui sinergi erat Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital, disokong penuh oleh infrastruktur Jalinan Digital Negara (Jendela) yang kini merentasi rancangan dan luar bandar.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan mahu melahirkan generasi Felda yang bukan sahaja mahir mengemudi perbankan internet dan transaksi tanpa tunai, malah bijak menjaga keselamatan media digital mereka dan berupaya meneroka ruang rezeki baharu menerusi perniagaan digital seperti TikTok dan Shopee.

“Bagi merealisasikan agenda ini, saya mengumumkan peruntukan bernilai RM15.85 juta, yang akan melibatkan 317 buah rancangan Felda layak menerima RM50,000. Komuniti di setiap rancangan boleh mula mengemukakan permohonan bagi menyalurkan bantuan ini,” katanya.

Manfaat pendidikan untuk pelajar Felda adalah insentif keenam diumum Anwar membabitkan peruntukan khas RM10 juta untuk baikpulih sekolah-sekolah di 269 buah sekolah rendah dan 101 buah sekolah menengah di seluruh tanah rancangan. 

“Insentif ketujuh adalah manfaat kesihatan untuk warga peneroka. Pada tahun lepas, saya sendiri yang meluncurkan Pasukan Kesihatan Skuad Maya Felda. Skuad ini berjaya melahirkan 1,555 orang ahli sukarelawan daripada kalangan peneroka, belia dan generasi baharu dan sudah melaksanakan lebih 18,000 saringan kesihatan di 371 rancangan seluruh negara.

“Justeru, bagi memastikan inisiatif murni ini terus diperkasakan, saya mengumumkan peruntukan dana tambahan berjumlah RM3 juta untuk Skuad Maya Felda,” katanya.

Perdana Menteri berharap agar ketujuh-tujuh inisiatif tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh warga peneroka, generasi baharu serta petugas Felda demi meningkatkan kesejahteraan hidup bersama.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN