Ramai semakin yakin dengan pengajian TVET

Ramai semakin yakin dengan pengajian TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelbagai usaha telah dan sedang digerakkan untuk menggalakkan lepasan SPM agar memilih pendidikan TVET sebagai hala tuju masa depan.

Jika sebelum ini pelbagai pandangan negatif menghantui pemikiran masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar sendiri, tetapi bentuk fikir sedemikian mulai tenggelam dengan muncul suatu senario positif yang memberikan keyakinan tinggi bahawa TVET bukan pengajian kelas kedua.

Angka 30,488 orang pelajar baru yang mendaftar di 36 buah politeknik bagi pengajian sesi 1 2026/2027 jelas menunjukkan bahawa berlaku lonjakan besar kemasukan pelajar.

Angka tersebut juga membuktikan pendidikan TVET khususnya di politeknik Malaysia sudah berjaya memasuki era baru.

Angka kemasukan pelajar baru itu juga yang merekodkan pencapaian melebihi 125 peratus cukup menarik perhatian kita yang selama ini mungkin sentiasa membayangkan betapa sulit untuk ‘mencari’ pelajar menyambung pelajaran dalam bidang TVET.

Lain dulu, lain sekarang. Mungkin itu ungkapan paling tepat untuk menceritakan perihal pendidikan TVET. Kejayaan ini juga sebenar terhasil daripada ‘political will’, iaitu kesungguhan dan keberanian pihak kerajaan dalam mempromosikan pendidikan TVET secara mega untuk pemahaman generasi muda.

Kini, pintu luas untuk semua lepasan SPM merebut ruang dan peluang mendalami bidang TVET telah dibuka. Segalanya telah disediakan, malah hingga ke peringkat ijazah juga turut diadakan di beberapa Polieknik Premier. Tiada lagi hujah yang mampu untuk menafikan luasnya peluang pendidikan TVET dan sempitnya masa depan mereka yang mempelajarinya.

Cuma, dalam kerancakan menerima sambutan luar biasa dalam kalangan lepasan SPM, pihak kerajaan khasnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), perlulah juga menyediakan prasarana selengkapnya bagi menyelesaikan pembelajaran.

Misalnya, dari segi kemudahan Kamsis (Kolej Kediaman Pelajar) perlulah sentiasa dikemaskini dengan memantau sebarang kekurangan. Yang elok ditambah-baik keelokannya. Yang kurang diperlengkapkan. Mengapakah hal ini sangat mustahak?

Kita jangan setakat bertanggapan bahawa suasana kondusif hanya terhad kepada bilik kuliah mahupun suasana di bengkel atau makmal semata-mata. Bagi saya, tempat kediaman atau dikenali sebagai Kamsis adalah nadi ekosistem kehidupan pelajar sepanjang mereka berada di kampus.

Saya berkeyakinan penuh, semakin baik dan semakin kondusif ekosistem persekitaran kolej kediaman, maka emosi dan mood pelajar untuk berasa seronok belajar menjadi tinggi. Mereka tidak berasa tertekan dengan persekitaran yang merimaskan jiwa.

Sesungguhnya, amat malang andainya minat yang berkobar-kobar untuk mendalami bidang TVET, tiba-tiba dibantutkan dengan kekurangan prasarana. Bagi politeknik yang baru, masalah prasarana pembelajaran dan kediaman pelajar tidak menjadi isu, namun bagaimana dengan suasana di politeknik yang sudah ‘tua’?

Pihak KPT menerusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti seharusnya sentiasa proaktif dalam memantau dan melihat secara dekat sebarang kedaifan prasarana pembelajaran dan kediaman pelajar, supaya suara-suara tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa pelajar tidak lagi kedengaran.

Namun, kita sangat yakin bahawa KPT tidak pernah memandang ringan dan lepas tangan dalam memperlengkapkan prasarana pembelajaran dan kolej kediaman pelajar, Cuma untuk memuaskan hati semua pihak pastinya memerlukan masa untuk menanganinya.

Saya secara peribadi sangat berkeyakinan bahawa bidang TVET khasnya di politeknik bakal muncul sebagai bidang rebutan lepasan SPM dan riak-riak awal itu sudah mulai kelihatan dengan jelas. Kita berharap arus gelombang TVET akan terus memacu minat generasi pelajar lepasan SPM.

Jika sebelum ini, kemasukan pelajaran lepasan SPM untuk pengajian diploma kejuruteraan sangat kecil berbanding dengan bidang lain seperti perdagangan misalnya tetapi kini wajah baru mula bersinar terang dengan jumlah kemasukan pelajar yang sudah tidak takut kepada ilmu kejuruteraan, malah dengan wajah senyum pelajar di hari pendaftaran saya mula yakin bahawa generasi lepasan SPM masa kini memasang slogan di minda masing-masing, ‘Aku tidak takut dengan kejuruteraan.’

Tahniah anak-anak muda, anda sebenar bakal hero TVET harapan negara masa depan. Terus dan teruskanlah pengajian anda dengan tekad membara di jiwa kalian. Anda boleh!

Mohd Rizal Azman Rifin

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

 

Pembaca yang ingin menyumbangkan idea atau komentar , teguran atau saranan berkaitan isu pendidikan dialu-alukan berbuat demikian Panjang komentar hendaklah tidak melebihi 7 perenggan. Sila e-mel kepada [email protected]

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN