KANGAR: Kenaikan harga lantai belian padi yang diumumkan kerajaan hari ini dijangka mencetuskan dilema baharu dalam industri beras negara jika ia tidak diseragamkan dengan penetapan satu gred beras.
Jika tidak diseragamkan atau harga beras tempatan masih kekal pada kadar RM26 bagi berat 10 kilogram itu, pengilang-pengilang mengakui sudah tidak mampu lagi membeli padi pada kadar baharu berkenaan.
Hal demikian kerana, pengilang-pengilang sudah tidak sanggup lagi terus menanggung kerugian ekoran lonjakan harga belian padi di sebalik harga beras rendah.
Pengarah Urusan Dibuk Sdn. Bhd, Marzukhi Othman berkata, kenaikan harga lantai belian padi tidak akan menyelesaikan masalah manipulasi campuran beras tempatan dan import oleh kilang-kilang besar atau kartel.
Katanya, bagi menyelesaikan isu beras negara secara keseluruhan yang memberi situasi menang-menang kepada semua pihak, kerajaan perlu menetapkan beras pada satu gred sahaja sekali gus dapat mengelak kilang-kilang besar ini terus memanipulasi beras.
Katanya, apabila harga beras naik atau diseragamkan hanya kepada satu gred beras putih sahaja secara tidak langsung pengilang boleh menawarkan harga belian padi yang munasabah kepada para pesawah.
“Kalau harga belian padi sahaja naik, kita (pengilang-pengilang) memang tidak mampu beli. Bila belian padi naik, beras juga sepatutnya naik dan ia sepatutnya sudah lama dilakukan.
“Jika tidak situasi sama sahaja berulang, beras tempatan tetap juga tidak ada di pasaran yang dipenuhi beras dicampur sahaja di pasaran dengan harga lebih mahal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan para pesawah menaruh harapan cukup tinggi kepada kerajaan agar pengumuman harga lantai padi baharu esok pada kadar relevan dengan situasi semasa.
Walaupun kenaikan itu tidak mencapai RM1,800 seperti hasrat pesawah selama ini, namun mereka berharap dapat meringankan beban untuk mengimbangi kos pertanian meningkat.
Sebelum ini dilaporkan kilang padi bumiputera di negara ini yang suatu masa dahulu cukup gah dan menjadi tumpuan ratusan ribu pesawah menjual hasil tuaian mereka dijangka lenyap sepenuhnya.
Daripada 117 kilang bumiputera yang aktif dan mampu memproses sehingga 1.17 juta tan metrik setahun, kini hanya tinggal tujuh buah sahaja masih bertahan dengan dijangka bakal gulung tikar dalam tempoh terdekat.
Kata Marzukhi yang Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, kerajaan boleh membantu dengan memberikan subsidi bantuan beras kepada pengguna B40.
“Melalui harga beras ditetapkan pada satu gred, kerajaan boleh berikan subsidi kepada pengguna B40 yang akan meringankan beban mereka,” katanya.










