SHAH ALAM: Kesemua 22 pemimpin dan pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasiruddin Mohd. Ali mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Pengakuan tersebut direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka sekali lagi di Mahkamah Tinggi, di sini semalam.
Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesemua tertuduh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Peguam mewakili 21 tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi perbicaraan permohonan kebenaran jaminan terhadap kesemua anak guamnya.
Pendakwaan pula memohon tempoh masa selama tiga minggu untuk meneliti dan membalas afidavit berkenaan bermula pada tarikh dokumen itu difailkan ke mahkamah.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar membenarkan permohonan daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan dan menetapkan 17 Mac hadapan untuk tarikh sebutan semula dan perbicaraan bagi permohonan jaminan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Nasiruddin dan isteri, Azura Md. Yusof, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 32, Hasnan Abd. Hamid, 53; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 53; Mokhtar Tajuddin, 60; Shuhaimi Mohamed, 56; dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang.
Turut dituduh adalah Muhammad Afdaluddin Latif, 34; Mohamad Sayuti Omar, 35; Mohd Fazil Md. Jasin, 57; Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 34; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 51; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 34 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.
Selain itu, Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 44; Mahani Kasim, 54; Siti Hajar Ismail, 51; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27; Nurul Jannah Idris, 28; Nur Jannah Omar, 32; dan Siti Salmiah Ismail, 57 turut berdepan pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH, di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang pada Oktober 2020 hingga 11 September tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.-UTUSAN










