Pelarasan T15: Kerajaan ambil pendekatan hati-hati

Pelarasan T15: Kerajaan ambil pendekatan hati-hati

Amir Hamzah Azizan (dua dari kanan) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur,Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif (kanan) ketika melawat reruai pameran pada Program Satu Pemimpin Satu Kampung di Pusat Komuniti PPR Pinggiran Bukit Jalil 2, Kuala Lumpur, semalam. - MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam menetapkan tangga pendapatan bagi klasifikasi 15 peratus teratas kumpulan berpendapatan tinggi (T15) bagi memastikan keputusan yang lebih tepat dan adil.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kementerian Ekonomi perlu diberi masa untuk kenal pasti tangga pendapatan yang tepat sebelum diumumkan.

“Kita berharap Kementerian Ekonomi akan memuktamadkan perkara itu dalam masa terdekat tetapi apa yang penting ialah usaha memuktamadkan tangga pendapatan terbabit perlu dibuat dengan kefahaman dan data yang tepat.

“Kita tidak mahu buat dengan cepat atau laju kerana tidak mahu salah. Jadi beri masa untuk Kementerian Ekonomi habiskan usaha mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) bawah CIMB di Pusat Komuniti Pinggiran Bukit Jalil 2, di sini, semalam.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan masih belum memuktamadkan klasifikasi pendapatan T15 yang dijangka dikecualikan daripada beberapa subsidi tahun ini.

Kerajaan turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang mentakrifkan T15 sebagai isi rumah berpendapatan RM12,000 ke atas, sebagaimana definisi yang digunakan ketika ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula menjelaskan klasifikasi T15 akan ditentukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah serta lokasi tempat tinggal mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN