Nissan, Honda mungkin batal rundingan penggabungan - Utusan Malaysia

Nissan, Honda mungkin batal rundingan penggabungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta Jepun, Nissan berkemungkinan membatalkan rundingan penggabungannya dengan Honda, kata sumber mengenai perkara itu.

Ahli lembaga pengarah Nissan juga dikatakan akan bertemu dalam masa terdekat untuk memutuskan tindakan.

Perkembangan itu menimbulkan keraguan terhadap kerjasama yang akan mewujudkan pengeluar kereta ketiga terbesar di dunia dari segi jualan dan menimbulkan persoalan baharu bagaimana Nissan yang terjejas teruk boleh mengatasi krisis itu tanpa bantuan luar.

Laporan mengenai rundingan penggabungan berakhir menyebabkan saham kedua-dua pengeluar kereta itu lebih tinggi hari ini, dengan Honda naik lebih daripada dua peratus, manakala Nissan meningkat 1.6 peratus berbanding penurunan sedikit dalam indeks Nikkei 225 Tokyo.

Honda, pembuat kereta kedua terbesar Jepun dan Nissan, yang ketiga terbesar, tahun lalu berkata, mereka sedang dalam perbincangan untuk menggabungkan perniagaan, menandakan perubahan penting bagi industri yang menghadapi ancaman besar daripada firma dari China, BYD dan pendatang kenderaan elektrik baharu (EV) yang lain.

“Namun, perbincangan itu menjadi rumit dengan perbezaan yang semakin ketara antara kedua-dua pihak,” menurut satu laporan berita.

Jelas seorang daripada sumber, Lembaga pengarah Nissan akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk membincangkan pembatalan rundingan penggabungan selepas Honda menyuarakan supaya ia menjadi anak syarikat, sambil menambah bahawa pengaturan sedemikian adalah menyimpang daripada semangat asal perbincangan kedua-dua pihak.

Seorang lagi sumber berkata, Honda, dengan nilai pasaran hampir lima kali lebih besar daripada Nissan, semakin bimbang dengan kemajuan pesaing yang lebih kecil. 

Akhbar Asahi Shimbun dari Jepun sebelum ini melaporkan bahawa penggabungan itu boleh dibatalkan.

Jurucakap kedua-dua syarikat tidak mengulas sama ada rundingan penggabungan dihentikan, tetapi berkata mereka akan membuat pengumuman pada pertengahan Februari, seperti yang didedahkan sebelum ini.

Sebelum ini, Nissan telah terjejas lebih teruk berbanding beberapa pengeluar kereta lain berikutan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV).

Ia tidak pernah pulih sepenuhnya selepas krisis bertahun-tahun yang dicetuskan oleh penahanan dan penyingkiran bekas Pengerusi, Carlos Ghosn pada 2018.

Rundingan itu bertepatan dengan gangguan yang ditimbulkan oleh potensi tarif daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. 

Menurut penganalisis, tarif terhadap Mexico akan menjadi lebih memberi kesan besar kepada Nissan berbanding Honda atau Toyota,

Rakan kongsi jangka panjang Nissan, Renault, berkata ia akan terbuka secara prinsip kepada penggabungan dengan Honda. 

Pembuat kereta Perancis itu memiliki 36 peratus daripada Nissan, termasuk 18.7 peratus melalui amanah Perancis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN