Minggu kedua Dewan Rakyat padat pengumuman rakyat

Minggu kedua Dewan Rakyat padat pengumuman rakyat

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat minggu kedua yang berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan  padat dengan pengumuman penting kerajaan yang dilakukan demi kebaikan rakyat. 

Pengumuman tersebut termasuklah harga lantai belian padi yang diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 mulai esok. 

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, kenaikan itu mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain serta impak kepada kos pengeluaran beras.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ekoran daripada itu juga, persatuan pesawah menyambut baik pengumuman kerajaan itu sekali gus menunjukkan kerajaan benar-benar komited untuk mempertahankan hak pesawah. 

Pengumuman lain turut dibuat di mana kerajaan bersetuju meminda Akta Perhimpunan Aman (Akta 736) bagi memudahkan penganjuran perhimpunan aman di negara ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan tersebut bertujuan memberi lebih kelonggaran kepada penganjur, namun aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan.

Ini termasuk keperluan pemberitahuan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekurang-kurangnya lima hari sebelum perhimpunan berlangsung supaya polis dapat menjaga keselamatan kawalan dan juga lalu lintas.

Pada masa yang sama, kerajaan turut mengarahkan PDRM agar siasatan terhadap 10 mahasiswa berhubung Perhimpuan Anti Rasuah diberhentikan serta-merta.

Tindakan sama juga diambil terhadap himpunan oleh ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang berlangsung di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, di sebalik pengumuman yang dibuat kerajaan, terdapat beberapa isu kontroversi yang dicetuskan Ahli Parlimen DAP mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.

Chow Yu Hui (PH-Raub) semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.

Seperti dijangka, cadangan tersebut mendapat bantahan daripada banyak pihak termasuk parti dalam Kerajaan Perpaduan iaitu UMNO yang menuntut semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan terutama berkaitan Perkara 3 berhubung kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu.

Persidangan Dewan Rakyat seterusnya disambung kepada perbahasan titah diraja Yang di-Pertuan Agong oleh Ahli Parlimen dengan menyentuh pelbagai aspek antaranya dua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini