Menteri Pertahanan ASEAN bincang ancaman keselamatan siber

Menteri Pertahanan ASEAN bincang AI, ancaman keselamatan siber

MOHAMED Khaled Nordin (dua dari kiri) melakukan tinjauan lokasi Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Batu Feringghi, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Isu berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta keselamatan siber di Asia Tenggara merupakan antara agenda perbincangan sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu penting kerana penentuan keselamatan dan keamanan serta pertahanan negara pada masa depan dijangka banyak dipengaruhi oleh penggunaan teknologi terkini termasuk AI.

“Penggunaan teknologi-teknologi ini sebenarnya banyak membantu usaha-usaha kita untuk memastikan ketahanan dan keselamatan negara. Pada masa yang sama, penyalahgunaannya juga boleh membawa ancaman.

“Jadi, atas dasar itulah Malaysia merasakan bahawa perlunya untuk kita bawa perkara ini untuk dibincang secara bersama supaya kita boleh lihat apa jurang antara setiap negara dan supaya adanya persefahaman (antara negara) berhubung penggunaan-penggunaan AI ini dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan sempena ADMM di Batu Feringghi semalam.

Terdahulu, sesi ADMM itu dimulakan dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan ASEAN (ADSOM WG) dengan dihadiri oleh 159 delegasi dari seluruh negara ASEAN.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, selain isu teknologi AI dan keselamatan siber serta penyalahgunaannya, isu lain yang akan dibawa ialah keperluan untuk memperkukuhkan keselamatan maritim dalam kalangan ASEAN.

Beliau berkata, dengan adanya pengukuhan kerjasama maritim itu, negara anggota ASEAN dijangka mendapat lebih kebebasan daripada segi pelayaran khususnya di kawasan perairan Laut China Selatan dan sebagainya.

“Perkara ketiga pula ialah usul untuk mewujudkan pasukan bantuan dan bencana dalam kalangan negara-negara ASEAN disebabkan oleh ketidaktentuan cuaca ketika ini,” katanya.

 

MOHAMED Khaled Nordin (dua dari kiri) melakukan tinjauan lokasi Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Batu Feringghi, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN