Malaysia, Mesir tolak pengusiran rakyat Palestin di Gaza

Malaysia, Mesir tolak pengusiran rakyat Palestin di Gaza

ANWAR Ibrahim bermesra dengan tetamu pada Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat Harmoni Madani Bestari Jaya, di Kuala Selangor, Selangor, semalam.-UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Mesir senada menolak sebarang usaha menghalau penduduk dari Gaza kerana tindakan sedemikian memberi kesan buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, sependapat mengenai isu tersebut dalam perbualan telefon yang turut menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.

“Saya mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin, khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pembangunan semula, serta menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Anwar menyampaikan penghargaan kepada  Abdel Fattah dan Kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan serta mempermudahkan usaha Malaysia dalam menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin terkesan akibat serangan Israel.

Dalam pada itu,  Abdel Fattah menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

Katanya, gerakan membantu Palestin akan lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini.

Selain isu Palestin, Anwar dan  Abdel Fattah turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir.

Sementara itu, Anwar berkata, terserah kepada parti PKR untuk menentukan sama ada Presiden dan Timbalan Presiden wajar dipertandingkan atau sebaliknya.

“Biar mereka putuskan, saya tak campur, biar demokrasi yang bertanding, tak bertanding dia (jawatankuasa) putus sendiri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat Harmoni Madani Bestari Jaya, di Kuala Selangor semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, pembinaan perumahan rakyat bagi kesemua keluarga bekerja dan tinggal di dalam kawasan estet perlu dibangunkan di seluruh negara.

Anwar berkata, rundingan dengan pemilik-pemilik estet berskala besar perlu diadakan bagi mengenal pasti kawasan yang boleh dibangunkan untuk pembinaan Program Residensi Rakyat (PRR).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN