KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar Datuk kerugian RM26.6 juta selepas menjadi mangsa kepada skim pelaburan mata wang kripto.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang juga pengarah syarikat pembinaan memaklumkan melihat iklan pelaburan berkenaan selepas membuat carian melalui Google.
Katanya, mangsa kemudiannya menekan pautan yang disertakan dan dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp.
“Mangsa diajar berkenaan pelaburan oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya Professor Stanley Lim.
“Terpedaya dengan janji-janji keuntungan yang ditawarkan, mangsa kemudian memuat turun aplikasi UVKXE bagi memulakan pelaburan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Ramli berkata, mangsa membuat sembilan pindahan wang ke sembilan akaun bank yang didaftarkan atas nama pelbagai syarikat berbeza sejak 17 Oktober hingga 24 Disember lalu.
“Jumlah keseluruhan pindahan yang dilakukan adalah bernilai RM26.6 juta. Melalui semakannya pada Januari lalu, mangsa mendapati akaun pelaburannya mencatatkan keuntungan sehingga AS$269.247 juta (RM1.2 bilion).
“Bagaimanapun, apabila ingin mengeluarkan wang keuntungan berkenaan, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM5.56 juta atas alasan cukai,” katanya.
Kata Ramli, lima akaun bank milik syarikat yang digunakan dalam kes itu turut disiasat bersabit 38 kes penipuan lain dan sejumlah 46 laporan polis diterima berkaitan skim penipuan pelaburan itu.
Sementara itu, Ramli berkata, pihaknya menumpaskan sindiket pusat panggilan penipuan antarabangsa dengan penahanan seramai 14 individu termasuk ketua sindiket warga China dalam serbuan di lapan premis kondominium Persiaran Stonor pada Rabu lalu.
Katanya, siasatan mendapati sindiket ini terlibat dalam penipuan permainan dalam talian yang menawarkan hadiah barangan mewah.
“Ahli-ahli perlu menyertai aplikasi perbualan dan forum di China berkaitan judi dalam talian kemudian mempelawa baharu menyertainya.
“Mangsa berminat diminta memuat turun aplikasi permainan dan perlu membuat pembayaran untuk menyertainya.
“Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, sindiket tidak lagi dapat dihubungi “ katanya.-UTUSAN










