SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini akan meneruskan perbicaraan ke atas empat pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah di bawah pertuduhan asal mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hakim, Datin Surita Budin menetapkan demikian selepas rundingan pihak pendakwaan yang menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 377E Kanun Keseksaan iaitu melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau ditolak oleh pihak pembelaan.
Pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu melibatkan tertuduh Muhammad Habib Noh Mohd. Zairi, 22, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 21, Muhammad Fawzun Azim Ismail, 21, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 23.
Sehubungan itu, peguam Datuk Hanif Hassan dan Muhammad Wajih Zakwan Hanif memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.
Surita berkata, sebelum meneruskan prosiding perbicaraan, beliau mahu mendapatkan kepastian sama ada perbicaraan dijalankan secara bersama atau berasingan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi berkata, beliau masih belum sempat merujuk perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara kerana baharu menerima maklumat berhubung penolakan pertuduhan pilihan oleh pihak pembelaan semalam.
“Kes ini melibatkan mangsa yang berbeza dan saya percaya perlu dijalankan secara berasingan. Untuk arahan perbicaraan secara bersama itu belum lagi, kerana sebelum ini kita dalam tempoh rundingan dan saya baharu mendapat maklumat semalam pihak pembelaan menolak pertuduhan pilihan,” katanya.
Sehubungan itu, Nurul Balkis memohon tarikh untuk serahan dokumen dan akan mendapatkan maklumat jelas berhubung perbicaraan.
Mahkamah kemudian membuat keputusan menangguhkan tarikh bagi prosiding perbicaraan dan menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh sebutan dengan kehadiran Timbalan Pendakwa Raya yang akan mengendalikan kes tersebut beserta senarai saksi.
Pada September tahun lalu, media melaporkan empat lelaki yang sebelum ini ditahan dalam Op Global yang mempunyai kaitan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 20 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki di sebuah madrasah di Kuala Pilah di antara tahun 2022 sehingga 2023..
Pertuduhan ke atas semua mereka dibuat di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika sabit kesalahan terhadap kesemua pertuduhan, masing-masing tertuduh boleh dipenjara selama tempoh 20 tahun dan boleh juga disebat. – UTUSAN