MEKAH: Seramai 5,256 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz, Madinah melalui 19 penerbangan setakat semalam.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun, daripada jumlah tersebut seramai 830 jemaah haji telah tiba secara berperingkat di Mekah kelmarin.
Beliau berkata, operasi haji tahun ini yang bermula pada 29 April lalu berjalan dengan baik dan lancar sama ada di tanah air mahupun di tanah suci.
“Jadi sebanyak 19 penerbangan telah pun mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz di Madinah daripada keseluruhan 100 penerbangan tahun ini.
“Setakat hari ini, seramai 5,256 jemaah telah pun berada di Tanah Suci, di mana 4,419 berada di Madinah dan 837 jemaah haji telah pun berada di Mekah bermula 4 Mei (kelmarin),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Mekah, Hotel Abraj Al-Janadriyah semalam.
Pecahan jemaah yang telah tiba di Mekah mengikut kumpulan adalah seramai 253 jemaah daripada kumpulan KT001, 328 orang daripada KT002 dan KT003 seramai 256 orang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 47 penerbangan bakal mendarat di Madinah, manakala 53 penerbangan akan mendarat di Jeddah sebelum terus masuk ke Mekah.
“Alhamdulillah jemaah haji yang sampai ke Mekah telah selesai menunaikan ibadah umrah masing-masing (semalam).
“Insya-Allah kerana waktu wukuf adalah lebih kurang 30 hari lagi, TH telah merangka pelbagai aktiviti termasuk bimbingan untuk mereka mengisi masa mereka di sini,” katanya.
Mengenai jemaah-jemaah yang berkerusi roda atau orang kurang upaya, ujarnya, petugas TH akan memanggil taksi-taksi untuk membawa mereka dari maktab ke Masjidil Haram bagi ibadah tawaf dan saie.
“Sebagai contoh sama ada untuk tawaf ataupun saie, selain daripada disorong oleh waris terdekat ataupun pengiring masing-masing, terdapat juga kemudahan untuk mereka menggunakan teksi dari maktab atau hotel ke Masjidil Haram.
“Insya-Allah kita akan cuba membantu memudahkan pergerakan mereka yang kurang upaya serta menggunakan kursi roda tersebut,” katanya.
Selain itu, Mohd. Hisham berkata, ada seorang jemaah perempuan yang dimasukkan di pusat rawatan TH di Roha Al Madinah di Madinah. – UTUSAN










