PETALING JAYA: Penerimaan masyarakat terhadap UMNO kini dilihat semakin baik meskipun ada pihak yang mendakwa orang Melayu masih ‘jauh’ daripada parti tersebut kerana tidak menerima kerjasama UMNO-DAP.
Menyifatkannya sebagai ‘permainan’ pembangkang, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sama ada kerjasama itu diterima atau tidak, ia akan diuji dalam medan sebenar iaitu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Mahu tengok sama ada kerjasama UMNO-DAP itu diterima atau tidak, kita tunggu pilihan raya. Saya pun tidak boleh kata tidak diterima sebab ia belum diuji. Setakat hari ini program yang kita buat di Johor khususnya, sambutan semakin meriah dan positif berbanding dua tahun sebelum ini.
“Ini bermakna, dalam keadaan orang kata Melayu tidak terima kerjasama dengan DAP, ramai yang datang ke program-program UMNO anjurkan. Maksudnya, UMNO sudah mula mendapat kekuatan semula daripada orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
PRU-14 menyaksikan perubahan landskap politik negara apabila buat pertama kali selepas lebih enam dekad mentadbir negara, Barisan Nasional (BN) gagal mengekalkan kuasa mereka.
Peralihan kuasa tersebut memperlihatkan kini UMNO membentuk kerjasama dalam kerajaan, termasuk Pakatan Harapan (PH) yang juga dianggotai DAP.
Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, penerimaan masyarakat terhadap kerjasama UMNO-DAP yang belum lagi diuji tidak mewajarkan untuk UMNO beralih arah bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kononnya demi kepentingan Melayu.
“Sebab kerjasama itu belum diuji, jadi tidak perlulah kita tiba-tiba mahu buat kerjasama baharu dengan PN pula,” ujarnya.
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang berkata, UMNO kini memiliki 26 kerusi di Parlimen sepatutnya mencari dahan berpaut bersama Pas menerusi penyatuan ummah bukan bergantung dengan DAP untuk menyambung ‘nyawa’.
Jelas Hashim lagi, kebanyakan akar umbi UMNO sebenarnya ingin penyatuan ummah dan beliau percaya hasrat tersebut akan tercapai apabila tiba masanya kelak.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, setiap program yang dianjurkan UMNO tidak melibatkan parti-parti politik lain yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita di peringkat negeri memang tiada kerjasama untuk buat program bersama PH. Sebab PH memang tidak ada sokongan di peringkat akar umbi, sebelum ini pun mereka mahu jawatan macam-macam tetapi sokongan tiada, akar umbi pun tiada. Macam mana kita mahu beri jawatan tertentu kepada mereka?
“Maka, sebab itu kita banyak buat program sendiri. Orang pun ramai datang, kita pun tiada masalah, UMNO kini dalam proses pemulihan dan jangan terkejut kalau UMNO bangkit balik dan menang pada PRU akan datang nanti,” ujarnya. – UTUSAN










