KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang dijadualkan pada Jumaat ini ditangguhkan lagi buat kali ketiga.
Penangguhan itu disahkan oleh Pengarah Kanan, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pemberitahuan berhubung penangguhan tersebut hanya diketahui selepas semakan dengan Mahkamah Rayuan dibuat oleh media. Seperti sebelum ini, tiada sebarang alasan dikemukakan di sebalik penangguhan tersebut.
Keputusan kes itu sepatutnya telah disampaikan pada 27 November 2024 selepas pihak-pihak terlibat selesai berhujah di Mahkamah Rayuan pada 1 Ogos 2024.
Bagaimanapun, tarikh tersebut telah ditangguhkan kepada 9 Januari lalu sebelum ditangguhkan pula ke 7 Februari ini.
Sekiranya keputusan rayuan akhir itu tidak berpihak kepada Peter, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu akan kehilangan peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijangka akan dijalankan sebelum Oktober ini.
Pada 26 Mei 2022, Peter didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS),hampir 11 tahun lalu,
Mahkamah Sesyen kemudian dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.
Pada 18 April 2023, Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan salah tersebut dan hukuman yang dikenakan terhadap bekas menteri terbabit.
Mengikut pertuduhan, Petersebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd., didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.-UTUSAN










