Kenaikan kos perniagaan tingkat kadar pengangguran

Kenaikan kos perniagaan tingkat kadar pengangguran

NORSYAHRIN HAMIDON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tekanan kos keterlaluan ditanggung pengusaha perniagaan di Malaysia dikhuatiri mencetuskan masalah baharu iaitu peningkatan kadar pengangguran sekiranya mereka gagal menambah pendapatan perniagaan.

Kebimbangan ini ada logiknya apabila golongan pengusaha dijangka menanggung peningkatan kos yang tinggi disebabkan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 dan kenaikan tarif elektrik.

Selain itu, pengusaha juga berdepan bebanan besar disebabkan kemungkinan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus membabitkan pekerja asing.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, peningkatan isu pengangguran berkemungkinan berlaku sekiranya golongan pengusaha gagal menampung peningkatan kos mendadak bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.

Katanya, hal ini mungkin berlaku sekiranya tekanan kenaikan kos tidak disalurkan kepada pengguna iaitu melalui kenaikan harga barangan.

“Benarlah peningkatan kos seperti tarif elektrik yang diumumkan tidak melibatkan rakyat, tetapi pelaksanaan serentak seperti kenaikan tarif elektrik, gaji minimum dan kemungkinan rasionalisasi subsidi RON95 pastinya memberi tekanan kepada pengusaha lebih-lebih lagi PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana).

“Apabila kos pengusaha meningkat sudah pasti mereka terpaksa mengalihkannya kepada pengguna akhir iaitu rakyat dengan menaikkan harga barangan.

“Namun, sekiranya kenaikan kos terlalu tinggi tidak dapat ditanggung, pengusaha terpaksa melepaskan pekerja-pekerja bagi mengurangkan tanggungan supaya margin keuntungan stabil. Ini berkemungkinan meningkatkan pengangguran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa pekerja asing perlu mencarum KWSP dengan penetapan caruman sebanyak dua peratus.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa kenaikan tarif elektrik yang akan dilaksanakan mulai Julai ini hanya melibatkan sektor industri serta golongan berpendapatan tinggi, tanpa memberi kesan kepada 85 peratus rakyat negara ini.

Kata Norsyahrin, apabila berlaku kenaikan kos mendadak, pengusaha terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan tekanan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

“Kami mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan kajian menyeluruh dengan melibatkan semua pemain industri supaya dapat mencari penyelesaian menang-menang kepada semua pihak termasuk pengguna,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan PA Food, Ding Hong Sing berkata, kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan memandangkan kos pengeluaran perniagaan semakin meningkat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan boleh membantu pengusaha perniagaan mengurangkan kos dengan bantuan dari segi teknologi dan digitalisasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN