ALOR SETAR: Para petani menyifatkan kenaikan harga lantai belian padi kepada RM1,500 per tan metrik bermula Ahad ini dapat menampung sebahagian daripada peningkatan kos pertanian yang dihadapi mereka.
Ahli Jemaah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kawasan Sungai Manik, Masrup Sukir berkata, keputusan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan mendengar suara pesawah terhadap berhubungan harga lantai belian padi sebelum ini rendah.
“Saya mewakili pesawah di Labu Kubong, Sungai Manik mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju menyelaraskan harga belian lantai padi kepada RM1,500 berbanding RM1,300 per tan berkuat kuasa esok.
“Pengumuman kenaikan harga lantai belian padi yang diselaraskan RM1,500 bagi kami berpatutan walaupun penyelarasan tidak sehingga RM1,800 seperti yang diminta.
“Maksudnya harga yang diminta dan harga lantai belian yang dipersetujuan kerajaan terlalu jauh perbezaannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan.
Perkara itu mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang MADA, Ishak Taib berkata, penyelarasan itu bukan sahaja dapat membantu pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi tetapi berupaya menambah pendapatan mereka.
Katanya, kenaikan harga lantai itu juga dianggap pengiktirafan terhadap sumbangan dan usaha gigih para petani dalam menjamin bekalan makanan negara.
“Langkah ini juga membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemampanan sektor pertanian, khususnya industri padi dan beras negara.
“Kami yakin langkah ini memberikan motivasi kepada para untuk terus meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan lagi industri pertanian sebagai tulang belakang ekonomi negara,” katanya.










