KLANG: Kehadiran watak adiwira Kamen Rider dan Spiderman, menceriakan seramai 999 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pandamaran Jaya di sini, pada hari pertama sesi persekolahan semalam.
Selain itu, rasa gemuruh 151 murid tahun satu yang kali pertama menjejak kaki di alam sekolah, turut hilang apabila dibawa menaiki kereta api tong disediakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Hadith Jamaludin berkata, pihaknya mahu memeriahkan suasana dan mengurangkan rasa gementar dalam kalangan murid-murid, terutama murid tahun satu yang memasuki alam baharu persekolahan.
“Murid-murid tahun satu kebiasaannya akan rasa gemuruh sehingga ada yang menangis dan melarikan kerana takut untuk bersekolah.
“Justeru, kami mahu mencipta kelainan dengan menyediakan adiwira dan kereta api tong bagi menyambut ketibaan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.










