Tindakan Norway batalkan kontrak NSM cemar prinsip perjanjian antarabangsa

Tindakan Norway batalkan kontrak NSM cemar prinsip perjanjian antarabangsa

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Norway membatalkan kontrak perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM) kepada Malaysia telah mencemarkan prinsip perjanjian, komitmen serta kepercayaan dalam hubungan antarabangsa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia telah memenuhi semua obligasi pembayaran mengikut syarat kontrak dan bertindak secara telus berlandaskan kepercayaan terhadap rakan strategik.

“Kerajaan Norway sama sekali tidak menghormati semangat persahabatan dan kerjasama yang Malaysia sudah tunjukkan selama bertahun-tahun.

“Kerajaan Malaysia sememangnya amat kesal dan kecewa dengan tindakan Norway. Lebih membimbangkan, tindakan itu mewujudkan satu duluan yang sama sekali tidak wajar dan sangat buruk.

“Sekiranya sebuah negara yang selama ini dilihat sebagai pendukung keamanan yang sinonim dengan Anugerah Keamanan Nobel, mengetepikan komitmen yang sudah dipersetujui, maka, adakah komitmen antarabangsa masih boleh diyakini, dipercayai dan dihormati oleh komuniti global,” katanya ketika sesi penerangan berhubung isu pembatalan NSM di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, isu itu bukan saja menyentuh kontrak pertahanan bernilai besar tetapi membabitkan kepentingan strategik negara, penggunaan wang rakyat dan kesiagaan pertahanan kedaulatan tanah air.

Katanya, proses perolehan bermula dengan penilaian teknikal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak 2011 dan dimeterai pada 2018.

“Ia bagi melengkapkan keupayaan “Surface to Surface Missiles’ (SSM)’ untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) dengan nilai kontrak berjumlah 128.7 juta Euro.

“Satu lagi kontrak perolehan dua set pelancar SSM pada 2023 dengan nilai kontrak berjumlah 1.19 juta Euro. Ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 137.91 juta Euro dianggarkan bersamaan dengan RM642.6 juta,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tempoh pelaksanaan, kerajaan Malaysia sudah memenuhi segala obligasi pembayaran kepada KDA mengikut jadual yang dipersetujui.

Katanya, pembayaran yang sudah dibuat kerajaan sudah mencecah 129.8 juta Euro yang bersamaan dengan RM600 juta atau 95 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak.

“Penghantaran dijadualkan tiba pada Mac lalu, namun pada 4 Februari lalu, KDA memaklumkan bahawa Kerajaan Norway menggantung lesen eksport bagi kedua-dua kontrak berkenaan kepada Malaysia tanpa menjelaskan punca penggantungan.

“Pada 20 April lalu, saya dikunjungi oleh Timbalan Menteri Luar Norway yang memaklumkan bahawa lesen eksport SSM dibatalkan secara kekal dengan alasan hanya akan mengeksport kepada negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan sekutunya,” katanya.

Tambahnya, mengikut nasihat Pejabat Peguam Negara, kementerian akan terlebih dahulu mendapatkan penyelesaian secara baik bersama KDA.

“Rundingan pertama dijadualkan pada pertengah Ogos ini bagi membincangkan status kontrak antara Malaysia dan KDA serta mencari penyelesaian secara baik.

“Keutamaan kerajaan adalah penyelesaian yang memberikan hasil terbaik, menjimatkan masa dan selari dengan kepentingan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN