KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan memperkenal benih padi jenis Putra Climate Ready Seeds atau Benih Sedia Iklim Putra (CR) yang bersifat tahan lasak bagi memastikan keterjaminan makanan mencukupi selain menggelakkan petani berdepan kerugian.
Pengerusinya, Khalid Abd. Samad berkata, benih yang dihasilkan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mempunyai daya tahan lebih tinggi terhadap kemarau, banjir, penyakit, serangga dan persekitaran.
Katanya, ketika ini projek rintis itu dilaksanakan di kawasan bendang Muling, Padang Mokan di sini musim lalu.
“Musim lalu kita telah usahakan benih jenis Putra CR di kawasan seluas enam hektar. Untuk musim kali ini, kita tambah kawasan tanaman kepada 48 hektar.
“Benih yang ditanam ini telah menunjukkan keupayaan apabila padi berusia 48 hari mampu bertahan walaupun petak sawah kering akibat kemarau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 7 Disember lalu, akhbar ini melaporkan Industri padi di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Perak dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM30 juta selepas tanaman itu ditenggelami air akibat banjir gelombang pertama Monsun Timur Laut, baru-baru ini.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah), Abdul Rashid Yob berkata, kira-kira 20 hektar sawah padi terjejas sepanjang gelombang pertama Monsun Timur Laut melanda negara.
Katanya, antara kawasan terlibat adalah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) serta beberapa kawasan lain.
“Di KADA sahaja, kira-kira 6,000 petani terjejas dengan kerugian mencecah RM10 juta terutama di daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar dan Pendang,” katanya..
Sementara itu, Khalid berkata, walaupun kawasan itu kering namun hasilan padi masih mampu mencapai 4.2 tan untuk keluasan satu hektar.
Katanya, ini adalah salah satu penambahbaikan yang dilakukan oleh KADA bagi memastikan tanaman padi terus berdaya saing.
“Kita akan perluaskan tanaman ini apabila mendapat kelulusan dari Jabatan Pertanian. Ketika ini KADA masih menjalankan projek rintis,” katanya.











