JPJ Perak keluarkan 6,039 notis saman penunggang motosikal - Utusan Malaysia

JPJ Perak keluarkan 6,039 notis saman penunggang motosikal

MOTOSIKAL yang diperiksa dalam Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengeluarkan sebanyak 6,039 notis saman kepada pengguna jalan raya sepanjang Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina 2025 dilaksanakan bermula 20 Januari lalu.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, data yang direkodkan sehingga semalam itu diperoleh hasil pemeriksaan ke atas 24,494 motosikal di seluruh negeri.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 143 motosikal disita membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan kenderaan tiada perlindungan insurans.

“Jumlah notis P22 yang dikeluarkan pada operasi tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu yang merekodkan 7,383 notis dengan 576 motosikal disita.

“Kesalahan paling tinggi dikesan tiada lesen memandu dan tamat tempoh iaitu sebanyak 1,934 notis saman diikuti lesen kenderaan motor tamat tempoh atau tiada perlindungan insurans dengan 1,611 notis saman dicatatkan dan kesalahan teknikal sebanyak 413 notis saman” katanya dalam sidang akhbar selepas Op Khas Motosikal di sini semalam.

Menurut beliau, operasi sempena musim perayaan itu memberi tumpuan kepada motosikal berikutan rekod kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah paling tinggi iaitu 60 hingga 75 peratus berbanding pengguna kenderaan lain.

Katanya, sepanjang operasi tersebut, pihaknya meletakkan fokus kepada kesalahan lalu lintas, lumba haram dan pengubahsuaian ekstrem terhadap komponen motosikal.

“Pelaksanaan operasi ini menunjukkan impak yang baik apabila kadar kesalahan yang dikesan berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu. Ini menunjukkan bahawa tahap kesedaran dalam kalangan pengguna dan pemilik motosikal semakin baik,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang operasi sempena Tahun Baharu Cina itu juga, pihaknya turut menjalankan aktiviti penyamaran dan pemeriksaan bas di depoh melibatkan empat terminal bas utama negeri.

Katanya, operasi penyamaran oleh anggota itu bagi mengesan kesalahan tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memandu berterusan di lorong kanan.

“Sebanyak 12 kesalahan dikesan dalam Op Penyamaran bas iaitu kesalahan tidak mengikut lorong yang betul, memotong di garisan berkembar, merokok ketika memandu, menggunakan telefon bimbit, tiada CDL dan PSV serta tidak mengikut kelas Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) iaitu bas persiaran dijadikan bas ekspres,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya