Generasi baharu Felda sokong pindaan Akta 530

Generasi baharu Felda sokong pindaan Akta 530

ABDULLAH ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Generasi baharu Felda menyokong cadangan kerajaan untuk meminda Akta GSA Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok (Akta 530) bagi menyeragamkan peraturan dan membolehkan lebih sebuah rumah dibina dalam satu lot di 317 rancangan Felda seluruh negara.

Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, perkara itu merupakan isu besar yang sekian lama berlegar di 317 rancangan Felda seluruh negara sejak anak peneroka sudah berkeluarga dan memerlukan rumah sendiri.

Katanya, AMBFM konsisten memperjuangkan isu perumahan generasi baharu Felda kerana bimbang trend tenaga produktif keluar rancangan untuk mencari pekerjaan dan rumah kediaman.

“Kebenaran Felda mem­boleh­kan mereka membina lebih sebuah rumah dalam satu lot dapat mengurangkan tekanan faktor tolakan keluar rancangan sekali gus kehilangan tenaga produktif menggantikan ibu bapa di ladang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Abdullah yang juga anak peneroka Felda Lembah Klau, Raub mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa, Akta 530 bakal dipinda dan dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat sebelum akhir tahun ini.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Ahmad Faizal Sulaiman turut menyokong cadangan meminda akta tersebut kerana ia dapat membantu menyediakan kawasan bina rumah dalam lot rumah peneroka asal.

“Ini kerana ramai dalam kala­ngan generasi kedua, ketiga dan keempat Felda masih menetap dan bekerja dalam kawasan tanah rancangan terpaksa me­numpang rumah ibu bapa mereka.

“Ramai dalam kalangan mereka mampu untuk membina rumah sendiri dalam lot peneroka tetapi ada kekangan di bawah akta tersebut,” katanya.

Beliau berkata, MBFM berharap Felda menyediakan garis panduan dan kawalan kebenaran untuk membina rumah itu nanti.

“Ini kerana pembangunan itu melibatkan dalam tanah rancangan Felda yang menjadi tumpuan dan rujukan dunia daripada segi pelan struktur yang menarik. Felda perlu memastikan pembinaan tersebut mengikut standard dan memberi impak positif kepada generasi baharu Felda dan menjaga susun atur rumah yang sistematik.

“Jika aspek itu diabaikan dibimbangi kelak susun atur rumah tidak teratur dan berselerak bagaikan rumah setinggan yang mencolok mata,” katanya.

Seorang generasi ketiga Felda Jengka 16, Feezna Elia Abd Rahman, 38, mengakui teruja dengan perkembangan itu kerana hasrat untuk membina rumah di sebelah rumah datuknya di rancangan tersebut bakal menjadi kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN