PADANG BESAR: Dua warga emas maut selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta sewaktu membelok di persimpangan jalan berhadapan Klinik Kesihatan Padang Besar, di sini semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.20 malam itu, mangsa, Yeoh Seow Khoon, 75, dan Ong Phu Siew, 74, maut manakala dua lagi rakan mereka yang berada di bahagian belakang tempat duduk penumpang turut cedera akibat pelanggaran tersebut.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, sewaktu kejadian, kereta jenis Nissan Sentra dipandu Seow Khoon telah dirempuh sebuah kereta lain jenis Proton Wira sewaktu tiba di persimpangan Klinik Kesihatan Padang Besar.
“Mangsa sedang membelok ke kanan dari arah simpang tiga klinik kesihatan itu dan tiba-tiba mereka telah dirempuh oleh sebuah kereta lain yang datang dari arah Padang Besar.
“Kereta dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dan merupakan pekerja kedai makan itu gagal untuk mengelak lalu merempuh bahagian kanan kereta mangsa,” katanya di sini hari ini.
Susulan itu, Mohd. Shokri berkata, Seow Khoon yang memandu kereta itu bersama Phu Siew yang berada di bahagian hadapan tempat duduk penumpang disahkan maut selepas cedera parah di bahagian pinggul dan patah tulang rusuk.
Beliau berkata, dua lagi rakan mereka yang berada di bahagian tempat duduk belakang turut cedera di mana salah seorang masih menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Fauziah (HTF), sementara pemandu kereta Proton Waja itu juga dilaporkan stabil dan kini berada di zon hijau.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN