HULU SELANGOR: Status orang kurang upaya (OKU) seorang remaja lelaki yang disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan ketika solat Subuh di sebuah masjid di Batang Kali, di sini semalam masih belum disahkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan rasmi daripada JKM berhubung status suspek yang berusia 19 tahun itu.
Sementara itu, katanya, suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 28 Februari ini
“Permohonan reman terhadap suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu sekitar pukul 9 pagi tadi dan mahkamah membenarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 28 Februari ini.
“Berkaitan status OKU suspek, kami (polis) masih menunggu pengesahan daripada JKM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mengenali mangsa yang masih kanak-kanak itu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim memaklumkan pihaknya menerima laporan polis selepas satu video berkaitan insiden itu tular di media sosial sekitar pukul 8.19 pagi.
Suspek yang merupakan warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – UTUSAN










