ASEAN-Turkiye sepakat kerjasama Pembangunan semula Palestin

ASEAN-Turkiye sepakat bangun semula Palestin

ANWAR Ibrahim Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: ASEAN dan Turkiye sepakat untuk bekerjasama dalam pembangunan semula Palestin termasuk dalam isu kemanusiaan selepas kemusnahan besar di wilayah itu akibat peperangan lebih setahun di Wilayah Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mengambil peranan Kepengerusian ASEAN pada tahun ini komited untuk memastikan sokongan yang diberikan adalah mencukupi selepas pengumuman gencatan senjata antara Israel dan Hamas pada 19 Januari lalu.

“Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan pada bulan lalu telah mengadakan pertemuan dengan semua Menteri Luar Negari di mana mereka menegaskan posisi itu.

 “Kami (Negara-negara ASEAN) terus berhubung mengenai perkara ini supaya kami dapat memberikan sokongan yang mencukupi untuk inisiatif bersama Jepun atau kepimpinan dalam pembinaan semula segera,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di sini semalam.

Sebelum ini, Anwar menyatakan komitmen mengenai keperluan mendesak untuk mempercepat usaha pembinaan semula Gaza dan Palestin dengan bekerjasama dengan Jepun di bawah kerangka Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

Inisiatif ini mencerminkan peranan proaktif Malaysia dalam mendapatkan sokongan antarabangsa serta memupuk kerjasama bagi memastikan usaha pembinaan semula di Palestin dilaksanakan secara mampan dan berkesan.

CEAPAD merupakan kerangka persidangan serantau yang dimulakan Jepun pada 2013 untuk menyokong usaha pembangunan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan dan pengalaman pembangunan ekonomi negara-negara Asia Timur.

Anwar berkata, Turkiye telah menunjukkan kepimpinan luar biasa dengan menghantar 100 kapal bantuan kemanusiaan, satu tindakan yang tidak dilakukan oleh mana-mana negara lain.

Katanya, kedua-dua negara akan akan terus bekerjasama, menggunakan kemudahan utama di Turki, Qatar, dan Mesir buat masa ini. 

“Seperti yang saya sebutkan kepada Presiden Erdogan, kita juga menyokong Inisiatif Jepun, yang telah menubuhkan dana untuk pembinaan semula Gaza. Mereka telah meminta kita untuk mengkaji Rancangan Pembinaan Semula Asia Timur bagi Gaza dan Palestin,” katanya.

Menyokong hasrat itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, kedua-dua negara mempunyai pendirian sama dalam memberikan segala bentuk sokongan terutama dari segi kewangan untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas berkaitan untuk memulihkan semula kehidupan penduduk Gaza.  

“Kita telah membincangkan perkara ini selama bertahun-tahun.

“Bukan sahaja di Palestin, tetapi juga di Syria, infrastruktur dan kemudahan asas telah musnah sepenuhnya. Keadaan di sana amat teruk dan memerlukan pemulihan segera,” katanya.

Kata Erdogan,  dalam langkah yang diambil kedua-dua pihak, perlu menilai apa yang boleh dilakukan dalam aspek pembangunan semula infrastruktur dan kemudahan asas. 

“Rakan-rakan kita akan bekerjasama dalam hal ini, dan berdasarkan penilaian tersebut, kita akan membuat keputusan serta mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Anwar dan Erdogan mengadakan pertemuan empat mata yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra.

Sebelum itu, Erdogan diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra dan beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Khairul Fakhzan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN