Ann Joo Resources beli 45% pegangan Konsortia Etiqa bernilai RM96 juta - Utusan Malaysia

Ann Joo Resources beli 45% pegangan Konsortia Etiqa bernilai RM96 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar keluli, Ann Joo Resources Bhd. akan membeli baki 45 peratus pegangan dalam Konsortia Etiqa Sdn. Bhd. (KESB), yang memiliki tanah industri seluas 176.84 hektar di Kedah, dengan harga RM96 juta.

Pegangan tersebut akan diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya, Ann Joo Management Services Sdn. Bhd. (AJMS), daripada pengarah KESB, Datuk Ong Tee Thong.

Ann Joo berkata, setelah transaksi selesai, AJMS akan memegang 96 peratus pegangan dalam KESB, manakala baki empat peratus akan dikekalkan oleh anak syarikat lain, Ann Joo Steel Bhd.

“Pengambilalihan ini selaras dengan strategi untuk menyelaraskan operasi pengurusan dan kepentingan pemilikan dalam KESB dan anak-anak syarikatnya.

“Dengan mengawal sepenuhnya KESB, Ann Joo mahu meningkatkan kecekapan membuat keputusan dan mendorong pertumbuhan pada masa depan,” katanya dalam satu pengisytiharan yang difailkan kepada Bursa Malaysia.

Ann Joo berkata, tanah KESB yang terletak di Taman Perindustrian Gurun dan dilengkapi dengan kemudahan industri termasuk sub-stesen utama 275kV, boleh dimanfaatkan untuk pertumbuhan pesat dalam sektor perindustrian di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

“Wilayah utara dijangka terus menarik pelaburan besar daripada pemain industri utama dalam sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik, serta automotif untuk mendirikan kilang pengeluaran mereka,” katanya.

Untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2023, KESB mencatatkan keuntungan terkumpul sebelum cukai sebanyak RM170.51 juta dengan jumlah aset berjumlah RM351.30 juta.

Pengambilalihan tersebut dibiayai sepenuhnya melalui dana yang dijana secara dalaman dan tidak akan memberi kesan kepada struktur modal saham Ann Joo.

Setelah selesai, aset bersih kumpulan dijangka meningkat kepada RM1.29 bilion, berbanding RM1.20 bilion sebelum ini, yang akan diterjemahkan kepada peningkatan aset bersih per saham kepada RM2.29 daripada RM2.14 ketika ini.

Pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku pertama 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN