KUALA LUMPUR: Digital Nasional Bhd (DNB) dengan kerjasama Ericsson melancarkan 5G-Advanced yang dijangka mempercepatkan automotif, meningkatkan kecekapan dan menyediakan penyelesaian berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) masa nyata untuk pelbagai industri, termasuk pengangkutan, penjagaan kesihatan, pertanian serta perniagaan kecil dan sederhana (PKS)
5G-Advanced adalah sebuah teknologi kesalinghubungan generasi baharu yang menggabungkan Kependaman Ultra Rendah dan AI.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelancaran itu menandakan satu langkah penting dalam transformasi digital negara.
“Ia berbeza dengan sistem 5G konvensional yang bergantung kepada konfigurasi manual dan maklum balas pakar, 5G-Advance menggunakan AI untuk menganalisis keperluan khusus industri secara autonomi.
“Ini membolehkan perniagaan melaksanakan penyelesaian rangkaian pintar yang disesuaikan dengan lebih cepat, mengurangkan masa penyediaan, dan meningkatkan kesalinghubungan secara keseluruhan.
“Apabila industri terus berkembang, AI akan terus mengoptimumkan prestasi rangkaian bagi memastikan skalabiliti berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran 5G-Advanced, di sini semalam.
Menurutnya, kebangkitan AI dan kesalinghubungan generasi baharu turut dijangka memberi manfaat kepada PKS dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia, yang merupakan tulang belakang ekonomi negara.
“Dengan 5G Advanced, perniagaan kecil boleh memanfaatkan alat berasaskan AI untuk meningkatkan produktiviti, memperbaiki pengalaman pelanggan, dan mengoptimumkan logistik.
“Inisiatif ini selari dengan visi kerajaan untuk memacu keterangkuman digital dan pertumbuhan ekonomi melalui teknologi,” katanya.
Mengulas mengenai Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Gobind berkata, NAIO juga meningkatkan usaha untuk mengintegrasikan AI dalam sektor pengangkutan, penjagaan kesihatan, pertanian, PKS serta perkhidmatan digital kerajaan.
“Kementerian yang mengawasi sektor-sektor ini sedang menubuhkan Pusat Kecemerlangan, yang diketuai oleh pegawai kerajaan untuk mengenal pasti cabaran dan melaksanakan penyelesaian berasaskan AI.
“Pendekatan yang tersusun ini dijangka mempercepatkan penggunaan dan inovasi AI dalam industri kritikal,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan kini sedang mengkaji semula dasar GovTech, yang pertama kali diperkenalkan pada Mac 2020.
“Memandangkan kemajuan pesat dalam teknologi AI dan teknologi baru muncul, para pembuat dasar sedang berusaha mengemas kini rangka kerja ini agar kekal relevan dan berkesan.
“Semakan ini dijangka selesai dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, dengan pelancaran semula disasarkan pada suku pertama 2025,” katanya.- UTUSAN










