50 tan peluru, kelongsong dibawa masuk sejak Januari

50 tan peluru, kelongsong dibawa masuk sejak Januari

AZMI ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Guni berisi 50 tan peluru, kelongsong dan anak peluru yang ditemukan di sebuah kilang sisa elektronik (e-waste) haram di Teluk Panglima Garang dekat sini dipercayai dibawa masuk ke negara ini sejak sebulan lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, peluru dan kelongsong peluru yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti negara asal barangan ini. 

“Memandangkan ia dibawa masuk melalui pengisytiharan palsu, perkara ini menjadi cabaran kepada kami untuk mengenal pasti dari mana sebenarnya sumber peluru ini dibawa masuk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Pada minggu lalu, media melaporkan polis menyerbu sebuah kilang haram e-waste di Kuala Langat melalui Op Hazard oleh sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dengan dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dilaporkan berkata, serbuan itu telah menemukan pelbagai barangan e-waste termasuk 50 tan guni berisi peluru termasuk anak peluru serta kelongsong.

Azmi berkata, siasatan lanjut mendapati peluru dan kelongsong peluru tersebut dibawa masuk ke Malaysia pada bulan lalu bersama dengan e-waste yang sepatutnya diproses di kilang berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan empat individu terdiri daripada seorang wanita tempatan, seorang lelaki warga China dan dua lelaki warga Kemboja.

“Siasatan kami mendapati wanita tempatan berusia 24 tahun itu bertindak sebagai penyelia di kilang terbabit manakala tiga lelaki warga asing berusia antara 28 hingga 34 tahun adalah pekerja di sana

“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki atau menggunakan senjata api secara haram yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN