PETALING JAYA: Sebanyak 131 daripada 217 buah syarikat subsidiari agensi kerajaan telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM4.087 bilion.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang dibentangkan di Parlimen, lima daripada 59 Agensi Persekutuan mempunyai pelaburan tertinggi melibatkan 109 syarikat subsidiari berjumlah RM63.472 bilion.
Katanya, sebanyak 100 syarikat subsidiari berstatus aktif manakala sembilan syarikat subsidiari berstatus dorman pada tahun 2023.
“Namun 86 syarikat subsidiari mengalami kerugian berjumlah RM2.810 bilion,” menurut laporan itu semalam.
Selain itu, 21 syarikat subsidiari bagi lima agensi Persekutuan telah mengalami kerugian bagi tempoh tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2021 hingga 2023.
“Pada tahun 2023, sebanyak 21 syarikat subsidiari mengalami kerugian berjumlah RM970.55 juta yang terdiri daripada sembilan syarikat subsidiari yang beroperasi di dalam negara, manakala 12 syarikat subsidiari beroperasi di luar negara,” katanya.
Dalam ada itu, LKAN mencadangkan syarikat terlibat mengurangkan liabiliti yang bersifat komitmen kewangan serta memperkukuh keupayaan sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.
Cadangan itu antara 10 syor kepada agensi Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan.
“Antaranya ialah perlu bertindak proaktif untuk meningkatkan kawalan dalaman agensi dan menambah baik sistem kewangan sejajar dengan keperluan piawaian perakaunan yang diterima pakai bagi memastikan pelaporan kewangan adalah tepat serta pengurusan tatakelola kewangan yang berkesan.
“Agensi Persekutuan juga perlu mengkaji semula hala tuju dan pelan perniagaan syarikat subsidiari yang mengalami kerugian dan tidak memberikan pulangan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah LKAN, agensi Persekutuan juga perlu memberi perhatian serius termasuk mengambil tindakan untuk menutup syarikat subsidiari berstatus dorman atau tidak aktif melebihi lima tahun. – UTUSAN










