SEREMBAN: Seramai 100,000 orang murid daripada keluarga kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) membabitkan 2,060 sekolah di lima negeri menerima bantuan buku tulis berasaskan kertas kitar semula menerusi Program Penyerahan Bantuan 1 Juta Buku Tulis Kitar Semula.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, program berkenaan merupakan inisiatif daripada Perbadanan Kota Buku dan dijalankan bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) sebagai projek tanggungjawab sosial korporat bagi membantu murid miskin dan miskin tegar di setiap sekolah.
“Usaha ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran dan semangat mesra alam sekitar dalam kalangan murid serta meringankan beban kewangan golongan B40 dalam menyediakan keperluan asas pendidikan anak-anak.
“Sebanyak 2,060 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan terlibat bagi tahun pertama program ini iaitu melibatkan semua sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan 1 Juta Buku Tulis Kitar Semula Kepada Murid B40 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Pagi di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar.
Azman berkata, bantuan buku tulis tersebut melibatkan satu juta buku tulis untuk kegunaan 100,000 murid B40 dengan pengagihan 10 buku tulis kepada 40 murid miskin dan miskin tegar di setiap sekolah.
“Selain itu, bantuan buku tulis ini turut diberikan kepada murid B40 terpilih di 44 sekolah pilihan rakan penyumbang,” katanya.
Ujar beliau, sebanyak 18 syarikat tempatan telah menyumbang bagi projek ini termasuk sebuah syarikat dari Thailand dengan jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak RM650,000.
Sementara itu dalam perkembangan lain, isu kepadatan pelajar yang agak tinggi dikenal pasti berlaku di Selangor dan Johor serta beberapa negeri lain susulan peningkatan pendaftaran murid tahun satu serta tingkatan satu.
“Kementerian Pendidikan telah ambil inisiatif menangani isu tersebut dengan kaedah pembinaan sekolah baharu, membina bangunan kabin yang mengambil masa tiga bulan serta penyuraian pelajar ke sekolah berhampiran.
“Dari semasa ke semasa kementerian sentiasa melihat keperluan yang perlu ditambah baik dan akan memastikan isu sekolah padat ini dapat ditangani,” katanya.
Katanya, kementerian tidak menerima laporan isu kepadatan pelajar yang kritikal di Negeri Sembilan.
“Setakat ini Negeri sembilan tidak ada kepadatan murid, sebaliknya isu ini dihadapi negeri tumpuan yang terdapatnya banyak taman perumahan dibuka dan industri,” katanya. – UTUSAN