PETALING JAYA: Pelaksanaan visa tunggal ASEAN boleh menjadi kenyataan sekiranya Malaysia memainkan peranannya sebagai pengerusi dengan berkesan.
Menurut Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, Malaysia juga perlu mengambil kira pandangan semua ahli dan melaksana sebarang penambahbaikan dengan segera sekiranya ingin pelaksanaan tersebut menjadi realiti.
Katanya, pelaksanaan visa tunggal bakal menggalakkan pergerakan penduduk negara anggota ASEAN dengan lebih pesat sekaligus meningkatkan aktiviti ekonomi setiap negara anggota.
Menurutnya, antara cabaran utama adalah dari segi penaiktarafan infrastruktur bagi menguruskan pendaftaran dan maklumat pelancong supaya tidak berlakunya sebarang masalah di sempadan.
“Negara-negara anggota boleh menangani isu ini dengan menggunakan satu sistem sama dengan teknologi terkini seperti teknologi blockchain yang terbukti amat berkesan dalam mengelakkan berlaku sebarangnya penipuan.
“Namun kos pelaksanaan mungkin menyebabkan ada negara anggota yang tidak mampu dari segi kewangan. Mungkin ASEAN boleh memberi geran khas untuk maksud tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, perancangan dan pelaksanaan visa tunggal pelancong menjadi satu daripada agenda utama Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia selaras dengan konsep integrasi dan kebersamaan yang diketengahkan dalam tema tahun ini, menyaksikan semua negara anggota bekerjasama meningkatkan pertumbuhan ekonomi antara satu sama lain.
Sementara itu, Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr. Fathir Badri Alhadad berkata, pelaksanaan visa tunggal adalah satu idea yang disambut baik oleh industri pelancongan tempatan.
Jelasnya, ia sama seperti apa yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah selama ini yang memudahkan pelancong untuk merancang pergerakan mereka.
“ASEAN kebanyakannya menawarkan produk pelancongan berasaskan ekopelancongan. Banyangkan jika pelancong boleh bergerak ke mana-mana negara ASEAN.
“Misalnya, pelancong boleh mendaki Gunung Kinabalu, kemudian berehat di Bali dan membeli-belah di Singapura. Ia pasti memberikan pengalaman baru kepada para pelancong antarabangsa,” katanya. –UTUSAN










