PETALING JAYA: Universiti seharusnya kekal neutral dan menjadi ruang bebas bagi perbincangan akademik tanpa menyokong sebarang agenda politik pihak tertentu secara eksklusif atau dipengaruhi ideologi politik berat sebelah.
Ketua Kluster Penyelidikan Undang-Undang dan Perniagaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Fauzilah Salleh berkata, pendedahan kepada politik seharusnya berbentuk pendidikan, bukan atas dasar manipulasi atau pengaruh politik partisan.
Katanya, pendedahan politik boleh dilaksanakan dalam bentuk perbincangan dalam kuliah merangkumi kurikulum khas seperti pendidikan kewarganegaraan.
“Bagaimanapun, pentingnya pendedahan politik di universiti kerana ia dapat mendidik pelajar mengenai struktur politik, dasar awam dan tanggungjawab sebagai rakyat. Namun, tidak perlu libatkan ahli politik dari mana-mana parti.
“Kita dapat elak risiko manipulasi ideologi pihak tertentu yang mengganggu objektif pelajar selain diskusi politik yang tidak dikendalikan dengan matang boleh mengalihkan fokus pelajar daripada akademik,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, media melaporkan tindakan segelintir individu yang membawa nama ‘Mahasiswa’ pada Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember tahun lalu dilihat mempunyai agenda politik murahan.
Bagi pensyarah Fakulti Pengurusan Kolej Universiti Antarabangsa, Prof. Dr. Bustam Kamri, universiti amat sesuai untuk mendedahkan teori politik tetapi tidak wajar dijadikan alat untuk agenda politik pihak tertentu.
“Pelajar perlu diberi kebebasan untuk menilai politik berdasarkan ilmu yang dipelajari bukan dipengaruhi oleh tekanan luar,” katanya.
Dalam pada itu, pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, elemen politik sukar dielakkan di universiti kerana kuasa ilmu sering kali menarik kuasa lain untuk memperkukuh kedudukannya.
Katanya, walaupun universiti awam di Malaysia berpayung di bawah kerajaan, institusi ini tetap memiliki elemen autonomi yang tersendiri.
“Universiti harus mencapai keseimbangan antara kuasa, ilmu, dan politik untuk memastikan integriti serta intelektualisme institusi tersebut tidak terjejas.
“Elemen politik di universiti boleh menjadi positif jika ia memberi ruang kepada pelajar untuk memahami isu-isu politik tanpa sebarang manipulasi,” ujarnya. – UTUSAN











