Tol lebih tinggi bagi kenderaan berat

Tol lebih tinggi bagi kenderaan berat

ALEXANDER Nanta Linggi bersama Lyndon Alfred Felix (tiga, kiri) dalam Majlis Pembukaan Seksyen 2 dekat Persimpangan Bertingkat SAE, Lebuhraya WCE, di Klang, Selangor, semalam. UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan tidak menolak kemungkinan menggubal dasar bagi mengenakan kadar tol lebih tinggi kepada kenderaan berat terutama yang membawa muatan sehingga melebihi had dan melanggar undang-undang.

Cadangan tersebut sebagai langkah memastikan mereka mematuhi had muatan dibenarkan serta menjamin kualiti permukaan jalan terutama di lebuh-lebuh raya di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara matlamat pembinaan lebuh raya adalah menggalakkan kenderaan berat me­laluinya sebagai usaha untuk memudahkan pergerakan kitaran ekonomi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi, mungkin kita cari kaedah, bagaimana. Mungkin nanti ada satu dasar di masa akan datang supaya lori tidak melanggar had muatan, itu yang betul-betul boleh merosakkan jalan, kita boleh mencari meka­nisme yang mana mereka akan didenda atau bayar tol lebih.

“Bagi saya, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sebagai laluan alternatif terbaik bersama PLUS (Lebuhraya Utara Selatan) supaya lori berat yang mesti mengangkut barangan menggunakan lebuh raya.

“Jadi, tidak ada masalah, katakan lori merosakkan jalan, kalau rosak kita baikilah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan pembukaan Seksyen 2 WCE, di sini semalam.

Jelasnya, bagaimanapun ketika ini negara mempunyai peraturan dan perundangan bagi mengawal had muatan lori, namun akan bekerjasama dengan semua pihak bagi penggubalan dasar baharu.

Sementara itu, Nanta Linggi berkata, pembinaan Lebuhraya Pesisiran Barat (WCE) kini mencapai 95 peratus melibatkan pembukaan Seksyen 2 yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Le­buhraya Shah Alam (Kesas) bermula tengah malam tadi.

Pembukaan tersebut melibatkan akses kepada jajaran berke­naan sepanjang 7.2 kilometer (km) sekali gus memudahkan perjalanan dari pusat bandar ini ke Banting sepanjang 18.2 km.

Beliau berkata, dengan pembukaan seksyen baharu itu, tempoh masa perjalanan menjadi pendek iaitu 25 minit berban­ding sejam di laluan alternatif kepada laluan di Jalan Klang – Banting yang sering berdepan kesesakan kerana berdekatan kawasan perumahan, komersial dan perindustrian.

Menurutnya, laluan baharu lebuh raya itu akan dibuka kepada umum bermula pukul 12.01 tengah malam ini dan menjangkakan peningkatan sehingga 20,000 pengguna terutama menjelang Sambutan Tahun Baharu Cina.

“Ia juga membawa manfaat lebih besar, bukan hanya untuk menghubungkan SKVE ke Kesas, malah ia menjadi ‘jalan kehidupan’ yang membuka peluang baharu kepada masyarakat di sepanjang koridor Pantai Barat iaitu akses kepada kawasan Banting, Telok Panglima Garang, Pulau Indan dan Bandar Botanik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini