BENTONG: Seorang wanita hanya mengetahui kematian adiknya menerusi hebahan dalam media sosial selepas pihak berkuasa mencari waris kemalangan meragut dua nyawa di Kilometer 42.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, kelmarin.
Kemalangan melibatkan sebuah treler yang terjunam ke dalam gaung sedalam 20 meter kira-kira pukul 8 malam itu mengorbankan pemandu kenderaan tersebut, Norazuat Mokhtar, 39, dan seorang lagi mangsa yang sedang dikenal pasti identitinya.
Kakak Norazuat, Noorelieena berkata, dia mengetahui kejadian menimpa adiknya itu menerusi aplikasi Whatsapp sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Kebetulan adik bongsu saya di Johor Bahru memaklumkan viral dalam media sosial kad pengenalan dan lesen arwah Norazuat bagi mengesan waris terdekat.
“Sejurus selepas dimaklumkan, saya bersama suami terus ke tempat kejadian dari rumah kami di Gombak, Selangor,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Bentong di sini, semalam.
Noorelieena berkata, arwah Norazuat yang merupakan anak keempat dari lima beradik bekerja sebagai pemandu treler sejak belasan tahun lalu dan pernah tinggal di rumahnya Oktober tahun lepas sebelum berpindah ke Taiping, Perak.
“Arwah baharu tiga bulan memulakan tugas sebagai pemandu treler di syarikat baharu yang beroperasi di Sungai Petani, Kedah. Tidak sangka kemalangan ini melibatkannya,” katanya.
Menurutnya, arwah Norazuat dikenali sebagai seorang yang suka berseloroh dan gemar melawak dengan ahli keluarga serta rakan-rakan.
“Selepas emak dan ayah meninggal dunia, kami rapat sesama adik- beradik. Pemergian arwah pasti memberi kesan terhadap ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 8.50 malam yang memaklumkan sebuah treler terbabas dan masuk ke dalam gaung.
“Siasatan awal polis mendapati treler yang dipandu Norazuat dari Bukit Kemuning, Klang menghala ke Kuantan dengan membawa muatan besi buruk. Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas masuk ke dalam gaung,” katanya.
Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan pemandu bersama seorang lagi mangsa yang belum dapat dikenal pasti identitinya maut di tempat kejadian. – UTUSAN











