SHAH ALAM: Seorang ibu sanggup menempuh perjalanan dari Lembah Klang ke Nibong Tebal, Pulau Pinang sebanyak dua kali bagi memastikan keberadaan anak perempuannya yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berada dalam keadaan selamat.
Wanita lingkungan usia 50-an itu berkata, anaknya dijaga jabatan itu selepas pihak berkuasa membuat serbuan ke atas sebuah sekolah di bawah kelolaan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBBH), September lalu.
Katanya, dia tidak menyangka hal berkenaan berlaku kerana pada hari anaknya itu diambil dan mahu ke sekolah berkenaan untuk mengambil anaknya yang berusia 16 tahun itu, berikutan cuti sekolah.
“Luluh hati saya bila dapat tahu anak saya diambil. Saya menghubungi pihak berkuasa, polis dan JKM untuk mengetahui keberadaan anak saya tetapi semua kata tak tahu. Ada yang kata dekat Nibong Tebal dan saya pergi ke sana, namun pegawai dekat sana cakap anak saya tiada sebaliknya mungkin berada di Cheras. Saya pergi pula ke Cheras.
“Akhirnya saya dapat panggilan dan diberitahu anak saya di Nibong Tebal dan dibenarkan menziarahinya pada bulan lalu. Kemudian JKM beritahu saya boleh hadir ke mahkamah untuk mohon anak kembali pulang ke keluarga,” katanya ketika ditemui, semalam.
Wanita berkenaan bersama 25 keluarga hadir di Mahkamah Kanak-Kanak bagi prosiding sebutan semula berhubung perintah hak jagaan sementara terhadap 41 kanak-kanak berusia lima hingga 16 tahun.-UTUSAN










