HATYAI, THAILAND: Pernikahan di Thailand biasanya dikaitkan dengan pasangan Islam, namun pasangan bukan Islam yang mahu berpoligami juga ramai melangsungkan perkahwinan di negara jiran itu.
Ini didedahkan oleh seorang ejen pernikahan dari Malaysia yang mendakwa sekurang-kurangnya 20 pasangan bukan beragama Islam berkahwin dalam tempoh seminggu di Thailand.
Ejen itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, berkahwin lebih daripada satu atau poligami dalam kalangan bukan Islam di Malaysia tidak dibenarkan tetapi perkara itu dibenarkan di Thailand.
Menurutnya, pasangan bukan Islam dari Malaysia memilih melangsungkan perkahwinan poligami di Thailand bagi mengelak sekatan undang-undang yang ada di Malaysia.
Katanya, pasangan bukan Islam yang melangsungkan pernikahan poligami di Thailand dapat mengelak peraturan monogami di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 di Malaysia.
“Sebenarnya ramai pasangan bukan Islam dari Malaysia yang berkahwin di sini. Mereka mahu berpoligami malah terdapat beberapa agensi yang terkenal di Hatyai dan Songkhla yang menyediakan perkhidmatan perkahwinan di Thailand untuk pasangan bukan Islam dari Malaysia.
“Agensi-agensi ini menawarkan bantuan lengkap untuk pasangan dari Malaysia, termasuk pendaftaran perkahwinan dan mengatur tempat perkahwinan di kuil Buddha atau pejabat daerah.
“Agensi perkahwinan ini menyediakan perkhidmatan bagi yang ingin melangsungkan perkahwinan di Hatyai atau Songkhla, Thailand. Mereka akan membantu dalam segala urusan dokumentasi serta memastikan perkahwinan berlangsung lancar di rumah ibadat Buddha sehingga selesai,” katanya
Menurut Lim, agensi-agensi tersebut turut menyediakan penterjemah bahasa dan pengangkutan bagi pasangan yang memerlukan bantuan dalam urusan logistik semasa melangsungkan perkahiwnan.
Katanya, bagi pasangan dari Malaysia yang beragama Buddha dan memilih untuk melaksanakan perkahwinan secara tradisional, kebanyakan mereka memilih mengadakan upacara pernikahan di kuil Buddha yang terkenal di Thailand.
Jelasnya, antara yang menjadi tumpuan adalah Wat Hat Yai Nai di Hatyai, yang terkenal dengan patung Buddha berbaring yang besar.
“Selain itu Kuil Wat Tham Khao Rup Chang di Songkhla juga menjadi pilihan ramai pasangan Malaysia. Kuil dalam gua ini menawarkan suasana yang damai dan tradisional, sesuai untuk upacara perkahwinan.
“Di samping itu, kuil Wat Chalong di Phuket turut menjadi pilihan untuk pernikahan poligami atau perkahwinan kedua,” katanya
Menurut Lim, selepas upacara pernikahan dilaksanakan di kuil, pasangan tersebut perlu mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah di pejabat daerah Thailand untuk mendapatkan sijil perkahwinan yang sah di negara itu.
Selain perkahwinan di kuil, pasangan bukan Islam dari Malaysia juga boleh memilih untuk melangsungkan perkahwinan sivil di Pejabat Daerah seperti di Pejabat Pendaftar Hatyai atau Songkhla.
“Antara dokumen yang diperlukan termasuk pasport antarabangsa bagi kedua-dua pasangan serta sijil bujang atau bercerai bagi wanita,” katanya.
Lim menambah, bagi memastikan perkahwinan yang dijalankan di Thailand diiktiraf di Malaysia, pasangan terlibat perlu memohon surat pengesahan perkahwinan di Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Surat itu akan membolehkan mereka untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia dan menjadikan perkahwinan mereka sah di sisi undang-undang Malaysia.
Lim menasihatkan pasangan bukan Islam yang mahu berkahwinan di sini supaya mendapatkan khidmat ejen atau panduan daripada pihak yang berpengalaman untuk memastikan semua dokumen dan prosedur diikuti dengan betul.
Menurutnya, sebaiknya dapatkan nasihat undang-undang daripada peguam untuk memastikan proses perkahwinan dilakukan dengan tepat dan sesuai dengan keperluan undang-undang kedua-dua negara. – UTUSAN










