Seremban perlu hospital baharu

Seremban perlu hospital baharu

SEBUAH hospital awam baharu perlu dibina di Seremban bagi menampung pertambahan pesakit di HTJS. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Isu kesesakan pesakit yang berlaku di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) bukan baharu namun masalah itu ketika ini dilihat semakin ‘parah’ ekoran pertambahan penduduk di bandar raya ini.

Keadaan itu mendorong kepada satu keperluan mendesak untuk sebuah hospital awam baharu dibina di daerah ini bagi menampung kepadatan pesakit di HTJS.

Seorang penduduk, Azmi Ismail, 62, berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberikan keutamaan bagi membina hospital awam baharu di Seremban khususnya di kawasan sekitar Nilai.

“Seperti saya yang tinggal di Sendayan, kawasan ini semakin membangun, taman perumahan sudah banyak dibuka, penduduk makin ramai namun dan semuanya masih tertumpu ke HTJS untuk mendapatkan rawatan.

AZMI ISMAIL

“Saya sendiri pernah me­nunggu lebih 30 minit untuk men­dapatkan nombor giliran rawatan sahaja, belum lagi tempoh masa untuk bertemu doktor di HTJS.

“Memang perlu adanya hospital kedua di daerah ini berikutan pertambahan penduduk dan lokasi di Nilai dilihat sesuai untuk tujuan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagi Halim Osman, 60, dari Tampin, dia kini sering ke HTJS bagi rawatan isterinya yang dikesan mempunyai ketumbuhan di bahagian leher tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini, isterinya itu mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah, namun susulan ketiadaan pakar bersesuaian, urusan rawatan isterinya dipindahkan ke HTJS.

“HTJS ni memang hospital yang sangat penting buat penduduk di negeri ini, pakar semua ada di sini. Namun, disebabkan kes-kes hospital daerah yang memerlukan rawatan pakar, pesakit di hospital ini akan makin bertambah.

“Jadi lebih bagus kalau ada hospital baharu yang boleh menampung pertambahan pesakit ni,” katanya lagi.

HALIM OSMAN

KERAJAAN NEGERI SEMBILAN BUAT PERMOHONAN

Isu berkenaan juga mendapat maklum balas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang memaklumkan kerajaan Negeri Sembilan telah membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pembinaan sebuah lagi hospital awam baharu di daerah ini.

Beliau berkata, perkara itu diharapkan dapat diberikan ke­utamaan oleh KKM mengambil kira kesesakan yang berlaku di HTJS ketika ini.

“Kerajaan negeri maklum mengenai kesesakan yang berlaku di HTJS ditambah pula dengan kerja-kerja naik taraf yang sedang dilaksanakan di wad kecemasan dan wad biasa hospital itu.

“Hasrat yang sama telah pun disebut semasa persidangan di Dewan Rakyat lepas, selain memaklumkan sendiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Aminuddin sebelum ini pernah berkata, cadangan pembinaan hospital kedua di Seremban menjadi keperluan mendesak mengambil kira unjuran pe­ningkatan jumlah penduduk di daerah ini.

“Peningkatan penduduk diunjur bakal mencapai 2.9 juta menjelang tahun 2045. Ini juga termasuk bagi menyediakan perkhidmatan untuk golo­ngan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golo­ngan berpendapatan rendah,” katanya lagi.

NILAI KAWASAN SESUAI BINA HOSPITAL BAHARU 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar memberitahu, keluhan penduduk mengenai keperluan sebuah hospital awam baharu dibina di Nilai telah diterimanya sejak lebih lima tahun lalu.

“Saya sebagai wakil rakyat juga mahukan hospital baharu di sini kerana HTJS agak jauh dari Nilai, lebih kurang 30 minit dari Nilai. Memang ada aduan dari penduduk, salah satunya HTJS terletak jauh dan selalu menghadapi masalah kesesakan.

“Jadi lebih baik kalau ada satu hospital di Nilai yang boleh digunakan penduduk dari Labu, Sendayan, Mantin, Lenggeng, itulah pandangan daripada mereka. Kalau ikutkan penduduk di Nilai, Mantin dan Lenggeng sahaja sudah hampir 200,000 orang,” katanya.

Lata Arul, ekoran kesesakan di HTJS itu, orang ramai terpaksa menunggu masa lama untuk mendapatkan rawatan.

“HTJS ini bukan hanya mengambil kes dari daerah Se­remban sahaja, bahkan kes-kes kritikal dri daerah lain. Kira-kira 55 peratus jumlah penduduk di negeri ini juga adalah menetap di Seremban jadi memang sangat perlu hospital baharu dapat dibina di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×