Sektor pelancongan Langkawi jana RM5.44 bilion setakat Jun

Sektor pelancongan Langkawi jana RM5.44 bilion setakat Jun

PENGUNJUNG dari dalam dan luar negara yang bercuti di Pulau Langkawi tidak melepaskan peluang menaiki kapal persiaran bagi menikmati pemandangan indah yang menjadi salah satu tarikan pelancongan di Langkawi. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebanyak RM5.44 bilion dijana dalam industri pelancongan di Pulau Langkawi, di sini setakat tempoh enam bulan pertama tahun lalu iaitu sehingga Jun.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, jumlah itu lebih tinggi berbanding sasaran keseluruhan sebanyak RM6.7 bilion untuk sepanjang 2024.

“Berbanding 2023, pendapatan pelancongan kita adalah sebanyak RM4.4 bilion untuk sepanjang tahun itu. Jadi, kita dapat lihat pendapatan pelancongan kini meningkat hampir dua kali ganda,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ketibaan Penerbangan Sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahnya, bagi jumlah kemasukan pelancong pula, Langkawi merekodkan seramai 2.51 juta orang setakat November lalu.

“Walaupun sebanyak 2.51 juta orang sehingga dua bulan lalu, peningkatan pendapatan menunjukkan lebih ramai pelancong dengan kuasa membeli datang ke Langkawi. Dalam tempoh sama, jumlah kemasukan pelancong asing juga dilihat hampir setara dengan pelancong tempatan,” ujarnya.

Haslina berkata, jumlah itu berbeza dengan tahun 2023 di mana kira-kira 60 peratus pelancong terdiri daripada pelancong tempatan dan selebihnya adalah pelancong asing.

Sementara itu, beliau berkata, Langkawi juga bersedia menjadi sebahagian daripada tuan rumah bagi Persidangan ASEAN tidak lama lagi.

“LADA berperanan untuk menyelaras apa sahaja program, mesyuarat atau pemukiman dengan semua agensi di Langkawi. Setakat sekarang tiga mesyuarat penting dan pemukiman menteri-menteri luar akan diadakan di sini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini