Sebat tersembunyi tidak jadi pengajaran

Sebat tersembunyi tidak jadi pengajaran

BUNGSI@AZIZ JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hukuman sebat terhadap pesalah jenayah syariah perlu dilakukan di khalayak ramai sebagai pengajaran.

Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar berkata, beliau menyokong pelaksanaan hukuman sebat terbuka terhadap pesalah jenayah syariah yang dilaksanakan di Terengganu pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, pelaksanaan hukuman sebat terbuka sebegitu memang dilaksanakan di Sabah namun, tidak ingat tarikh terakhir hukuman tersebut dilaksanakan.

Katanya, hukuman itu adalah amalan takzir, jadi terpulang kepada pemerintah sesebuah negeri atau pihak berkuasa agama negeri untuk melaksanakannya, kerana berdasarkan kaedah itu, tidak ada satu larangan daripada syarak untuk hukuman tersebut dilaksanakan.

“Kita ucapkan tahniah kepada negeri Terengganu kerana melaksanakan hukuman ini sesuai dengan kehendak syariah agar pelaksanaan hukuman itu menjadi pengajaran kepada orang lain.

“Kalau orang Sabah bilang, ditapuk-tapuk (sembunyi-sembunyi) orang tidak tahu jadi, tidak akan jadi pengajaran. Itu antaranya mengapa hukuman itu perlu dikhalayak ramai.

“Namun, itu pun tidaklah di khalayak ramai tapi secara terpilih dan dengan syarat-syarat yang ketat seperti tidak boleh ditularkan, tidak boleh rakam video dan lain-lain,” katanya semasa ditanya mengenai pelaksanaan hukuman sebat terbuka yang dilaksanakan terhadap pesalah khalwat di Terengganu.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Haul ke-30 tahun Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun di Taman Peringatan Tun Mustapha di Putatan semalam.

Bungsu berkata, hukuman sebat terbuka itu tidak harus dijadikan isu politik mahupun isu agama kerana perkara-perkara ijtihad yang dilaksanakan pihak berkuasa agama di Terengganu itu tidak boleh dibatal oleh ijtihad yang lain.

“Ini pandangan berdasarkan situasi yang sesuai di Terengganu jadi, kalau ada negeri lain yang membantah, itu tidak sesuai. Jadi, kalau ada yang tidak setuju, ia tidak boleh dibatalkan kerana itu di luar bidang kuasa pihak lain,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Hakim Syarie Sabah memaklumkan hukuman sebat terbuka telah dilaksanakan di Tawau pada 2016 yang membabitkan dua pesalah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×