JOHOR BAHRU: Sebanyak 47 klinik kesihatan yang uzur dan daif di negeri akan dinaik taraf tahun ini melibatkan peruntukan lebih RM30 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, ia melibatkan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur serta menggantikan sistem perubatan yang lama.
Beliau berkata, proses mengeluarkan tender akan bermula pada Mac ini dan dijangka dapat diselesaikan sebelum Oktober mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kita telah mengenal pasti sebanyak 47 klinik kesihatan yang uzur dan daif di setiap daerah di negeri ini yang perlu diberikan keutamaan untuk dinaik taraf demi keselesaan pengguna.
“Sebelum ini, sebanyak 98 klinik di seluruh negeri ini telah dinaik taraf sejak 2023 sehingga Disember lalu,” katanya ketika ditemui di Lotus Bukit Indah, di sini semalam.
Terdahulu, Tian Soon mengiringi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan Walkabout Pelancaran Projek Locker4U 2025 & Inisiatif Perkhidmatan UMP di pasar raya tersebut.
Kata Tian Soon, tiga Klinik Kesihatan di Gelang Patah, Majidee dan Tebrau, di sini hampir siap dinaik taraf sepenuhnya dengan peruntukan RM4 juta.
Ulasnya, infrastruktur dan kemudahan di fasiliti kesihatan itu seperti pendingin hawa, perabot serta peralatan bukan perubatan telah diganti.
“Bagi kelengkapan perubatan pula seperti alat ultra sound juga akan dipasang dalam masa terdekat. Menteri Besar juga berhasrat menyumbang ambulans di ketiga-tiga klinik kesihatan tersebut, juga dijangka akan diperolehi dalam masa terdekat,” katanya.
Jelasnya, ini merupakan inisiatif Menteri Besar selepas mengadakan lawatan mengejut di klinik kesihatan terbabit.
Katanya, tidak ada fasiliti kesihatan yang terjejas akibat banjir yang melanda di lima daerah di negeri ini, baru-baru ini.
Sementara itu, Tian Soon berkata, inisiatif perkhidmatan ubat melalui pos (UMP) secara percuma oleh Kerajaan Johor melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan diteruskan sehingga hujung tahun ini. – UTUSAN










