Pengorbanan ahli Pas bantu Mastura

Pengorbanan ahli Pas bantu Mastura

siti mastura
SITI Mastura Muhammad (tengah) dilaporkan telah selesai membuat pembayaran saman berjumlah RM830,034.75 kepada tiga pemimpin DAP iaitu Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sokongan ahli Pas dalam kutipan ‘derma jihad’ bagi membantu Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad yang kalah kes saman fitnah menunjukkan kesatuan jemaah dalam parti tersebut.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, derma sehingga lebih RM825,000 itu berjaya dikumpul yang difahamkan hanya dalam tempoh kira-kira sebulan sekali gus dapat membantu Siti Mastura.

Katanya, usahaa itu juga mematuhi syariat Islam dalam membantu menyelesaikan sesuatu isu.

“Alhamdulillah, melalui ku­tipan derma jihad oleh ahli dan pimpinan Pas, kita berjaya mengumpul dana mencukupi untuk membantu Siti Mastura.

“Kita tidak menentang hukuman mahkamah yang telah membuat keputusan, namun sebagai ahli dan pemimpin Pas, kita wajib membantu pemimpin yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kelmarin Siti Mastura menyelesaikan pembayaran sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada tiga pemimpin DAP iaitu Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.

Pembayaran ganti rugi tersebut dibuat melalui penyerahan cek kepada peguam tiga pemimpin berkenaan, Datuk Sankara Nair.

Sankara mengesahkan firma guamannya telah menerima cek berjumlah RM830,034.75, termasuk faedah sehingga Khamis daripada Siti Mastura.

Ahli Parlimen Pas itu mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membayar ganti rugi keseluruhan dan kos guaman berjumlah RM825,000 termasuk faedah kepada ketiga-tiga plaintif dengan menyerahkan cek kepada Sankara, sementara menunggu rayuan kes.

Pada 4 Disember lalu, Siti Mastura kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan Kit Siang, Guan Eng dan Teresa Kok berhubung ucapannya yang mengaitkan mereka dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Tambah Hashim, Pas juga mengambil pengajaran daripada kisah di zaman Rasulullah SAW dalam membantu Siti Mastura itu.

Katanya, ia merujuk kepada peristiwa ketika Panglima Khalid al-Walid membunuh tawanan perang daripada Bani Juzaimah.

“Rasulullah SAW mengambil tanggungjawab terhadap kesilapan itu dengan memerintahkan umat Islam membayar diat kepada mangsa, walaupun pada waktu itu tiada sistem perundangan antarabangsa.

“Islam tidak membenarkan perjuangan jahiliah, tetapi mengakui kesilapan ahlinya dan menegakkan keadilan. Dalam masa yang sama, Islam menolak perjuangan yang sesat dan menekankan keadilan tanpa mengira kaum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN