PASIR PUTEH: Penduduk yang tinggal di pesisir Pantai Kelantan khususnya Pantai Bisikan Bayu Semerak di sini dan Pantai Damak, Bachok diselubungi resah susulan fenomena air laut pasang besar yang melanda penempatan mereka sejak kelmarin.
Dakwa mereka, kejadian itu menyebabkan kediaman penduduk digenangi air masin sedalam 0.3 meter.
Seorang penduduk Pantai Bisikan Bayu, Nik Awang, 83, berkata, kawasan rumahnya mula dilimpahi air masin bermula pukul 6.30 petang sehingga awal pagi semalam.
Katanya, dinding rumahnya turut bergegar setiap kali dibadai ombak selain berdepan tiupan angin kencang serta hujan lebat.
“Situasi ini sangat menakutkan sehingga saya terpaksa menyelamatkan diri dengan bermalam di rumah saudara-mara.
“Keadaan laut yang bergelora sejak Disember lalu menyebabkan hakisan tebing semakin serius. Rumah saya semakin dekat dengan laut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Luqman Mohd. Noor, 30, berkata, buat masa ini dia terpaksa berpindah ke rumah saudara terdekat kerana bimbang soal keselamatan diri.
Katanya, semasa kejadian rumahnya ditenggelami air sedalam 0.3 meter.
Bagi penduduk di Kampung Pantai Damak, Abdul Rashid Idris, 73, pula meminta pihak berkenaan membenteng tebing bagi mengelakkan air laut masuk ke rumah ketika ombak besar.
“Kami berdepan dengan dua keadaan iaitu limpahan air masin dan angin kencang yang sering menerbangkan atap rumah. Kami tiada pilihan kerana tiada tempat lain untuk berpindah,” ujarnya. – UTUSAN











