Penduduk Gaza harap keamanan kekal

Penduduk Gaza harap keamanan kekal

Rakyat Palestin mengibarkan bendera negara mereka ketika pulang ke Rafah di Selatan Semenanjung Gaza, ekoran pelaksanaan gencata senjata antara Israel dan Hamas sebelum ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penduduk Gaza meletakkan harapan tinggi untuk menikmati keamanan susulan gencatan senjata api yang bermula semalam, selepas mereka menempuh tempoh konflik yang berpanjangan sejak 7 Oktober 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, namun yang paling penting sejauh mana gencatan senjata itu dipatuhi oleh rejim Zionis.

Katanya, adalah penting juga untuk memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan tanpa halangan dan pelepasan tahanan yang telah lama menjadi tuntutan penduduk Palestin.

“Jika semua perjanjian berjalan dengan baik tanpa sebarang pelanggaran, perbincangan untuk memasuki fasa kedua dan langkah seterusnya akan dapat dimulakan dengan lebih terancang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza berkuat kuasa semalam dengan syarat pembebasan tebusan oleh Hamas dan rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh rejim Zionis.

Ekoran gencatan senjata itu, tentera Israel mula berundur dari kawasan di Rafah Gaza ke koridor Philadelphi di sepanjang sempadan antara Mesir dan Gaza, lapor media antarabangsa awal sebelum ini.

Sementara itu, seorang rakyat Malaysia yang pernah terkandas di Palestin, Nurul Ain Haron berkata, seluruh penduduk Gaza kini menantikan detik bermulanya gencatan senjata dengan penuh harapan.

Katanya, penduduk bersyukur atas tindakan drastik Israel yang tiba-tiba mengubah waktu permulaan gencatan senjata daripada pukul 12.15 tengah hari kepada 8.30 pagi.

“Penduduk Gaza yang berlindung di khemah dan sekolah telah mula mengemas barang mereka untuk pulang ke rumah masing-masing, walaupun kebanyakan kediaman mereka telah rosak sebahagiannya.

“Ada juga yang masih menunggu peluang untuk pulang mencari ahli keluarga yang mungkin masih terperangkap di bawah runtuhan. Situasi ini memperlihatkan keazaman rakyat Gaza untuk memulakan kehidupan semula meskipun berdepan risiko dan cabaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN