PUTRAJAYA: Kira-kira 300 nelayan pantai tempatan khususnya di Perak terus berdepan dengan isu pencerobohan nelayan asing yang dilihat bermaharajalela tanpa penguatkuasaan tegas.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Mohd. Faizal Mohd. Zabri berkata, sekurang-kurangnya 50 bot tunda haram sering kali mencerobohi kawasan Bagan Datuk Kuala Sungai Tiang dan Kuala Sungai Burung dengan kebanyakan tekong dan awak-awak dalam kalangan warga asing.
Kata beliau, situasi itu merupakan satu penganiayaan kepada nelayan tempatan yang bergantung penuh kepada pendapatan hasil laut di kawasan digazetkan kepada bot nelayan kecil apabila bot pukat tunda haram ini merampas hasil dalam kawasan zon larangan.
“Walaupun ada tangkapan bot tunda haram ini dibuat oleh pasukan penguat kuasa, mereka dilihat kembali beroperasi sedangkan bot-bot ini perlu disita dan dilucut hak.
“Di bawah Perkara 47 Akta Perikanan 1985 memberi kuasa kepada penguat kuasa untuk menyita mana-mana vesel yang tidak berlesen dan alat tangkap yang tidak mengikut klasifikasi pada lesen,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Faizal berkata, pihaknya sudah membuat aduan kepada Jabatan Perikanan (DOF) sejak tahun 2021, malah terbaharu pada bulan ini melalui surat yang dihantar kepada Pengarah Perikanan Perak.
Bagaimanapun, katanya, tidak ada apa-apa tindakan diambil, malah bot-bot tunda haram ini kelihatan semakin berleluasa dan kembali beroperasi.
Katanya, bot-bot tunda haram ini malah lebih berani apabila bertindak menukar warna bot mereka dan meletakkan nombor pendaftaran palsu untuk mengaburi mata pihak berkuasa selepas kegiatan mereka dirakam nelayan tempatan.
“Bot pukat tunda ini telah dikesan dan dirakam menggunakan aplikasi ‘TimeStamps Camera’ oleh nelayan tempatan yang berada di kawasan tersebut. Maklumat satelit yang diterima bot ini berada lebih kurang 1 batu nautika dari pantai Sungai Tiang, Bagan Datuk, Perak.
“Penelitian video dan maklumat pengadu juga mendapati bot pukat tunda ini menggunakan tekong dan awak-awak warga asing serta tidak diusahakan sendiri. Maklumat lapangan didapati bot tunda ini menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dan bot ini telah dicat dan ditukar nombor pendaftaran selepas video pencerobohan bot ini tular di media sosial,” katanya.
Beliau mahu pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lebih tegas tanpa kompromi berhubung isu pencerobohan bot tunda ini.
Sebagai contoh, pihak berkuasa Indonesia akan menenggelamkan mana-mana kapal nelayan warga asing yang mencerobohi kawasan perairan mereka.
Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa perlu menyiasat dan mengambil tindakan atas setiap aduan daripada golongan nelayan yang telah membantu mengesan kegiatan bot tunda haram ini jika mereka kekurangan anggota petugas di lapangan.
“Langkah penguatkuasaan lebih tegas amat perlu supaya golongan nelayan tempatan tidak terus ditindas hanya kerana penguatkuasaan lemah sehingga memberi kesan kepada hasil laut negara dan pendapatan golongan nelayan,” katanya.-UTUSAN











