Malaysia tidak terburu-buru kejar status negara maju

Malaysia tidak terburu-buru kejar status negara maju

RAFIZI Ramli dalam sidang akhbar bersama Muhammad Sanusi Md. Nor selepas Sesi Libat Urus RMK13 Kerajaan Kedah di Alor Setar. Kedah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Malaysia tidak akan terburu-buru mengejar status negara maju tanpa mengimbangi faktor penting terutama berkaitan pendidikan, kebajikan dan pembangunan rakyat.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, negara berada di landasan betul dalam mencapai status itu apabila pertumbuhan ekonomi mampan antara empat hingga lima peratus ketika ini.

“Saya tidak rasa dasar kerajaan sekarang ini adalah untuk mengejar menjadi negara maju. Cuma pertumbuhan ekonomi kita yang kebelakangan ini, contohnya untuk 2024 dijangka 5.1 peratus.

“Kalau ini berterusan pada kadar 4.5 peratus ke atas untuk beberapa tahun akan datang, itu secara automatik menjadikan kita negara maju,” katanya dalam sidang akhbar Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Kerajaan Kedah bersama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, semalam.

Beliau mengulas kenyataan pakar ekonomi bahawa Malaysia tidak wajar terburu-buru mengejar status negara maju sebelum negara berjaya mengimbangi beberapa faktor penting yang boleh dijadikan kayu pengukur sebenar.

Kata Rafizi, pertumbuhan ekonomi negara juga akan didorong dengan minat pelaburan luar yang semakin meningkat memandangkan Malaysia dianggap pintu masuk terbaik ke ASEAN.

“Jadi semua ini adalah faktor-faktor yang dijangka terus mendorong pertumbuhan ekonomi kita yang kalau kekal seperti sekarang akan menjadi negara maju berdasarkan kriteria pendapatan yang ditetapkan iaitu menjelang 2028 dan 2029,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN