Lima negeri dikesan hadapi masalah kehilangan air tidak berhasil 

Lima negeri dikesan hadapi masalah kehilangan air tidak berhasil 

CHARLES Anthony Santiago (kiri) menyaksikan Syed Mohamed Adnan Mansor (dua kiri) bersama Mohmad Asari Daud (dua kanan) selepas menandatangani dokumen MoU pada Majlis Pemeteraian Pelan Tindakan antara SPAN dengan SAP di Ibu Pejabat SPAN, Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang merupakan antara lima negeri yang dikesan berhadapan dengan masalah air tidak berhasil (NRW) tertinggi di negara ini

Pengerusi Suruhanjaya Per­khid­matan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, daripada kesemua lima negeri tersebut, Perlis merekodkan kadar NRW mele­bihi 60 peratus yang dikesan akibat kebocoran paip atau kecurian bekalan.

“Ini bermaksud bagi setiap RM100 yang dikeluarkan, RM60 itu hilang. Jadi mereka hilang lebih daripada 50 peratus daripada apa yang dikeluarkan, justeru ia adalah kehilangan besar kepada pihak operator. 

“Masalah yang sama turut berlaku di negeri Kedah dengan 58 peratus NRW, sama juga dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang (tetapi) Perlis yang tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Pelan Tindakan dengan Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP) sebagai usaha mentransformasi perkhidmatan bekalan air di negeri Perlis di Ibu Pejabat SPAN di sini semalam.

Kerjasama itu merangkumi aspek bagi membantu SAP dalam mencapai sasaran mengurangkan kadar NRW secara holistik kepada kadar yang munasabah sejajar dengan peruntukan dan ketetapan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 serta meningkatkan kompetensi modal insan yang bersesuaian dengan keperluan industri air. 

Selain itu, pelan tindakan tersebut bertujuan mengemukakan cadangan pindaan Pelan Perniagaan Tempoh Operasi ke-4 (OP4) dan persediaan perancangan bagi Pelan Perniagaan OP5 yang merangkumi projek-projek perbelanjaan infrastruktur.

Mengulas lanjut, Charles berkata, walaupun peruntukan geran telah disalurkan kerajaan Persekutuan, namun jumlah tersebut sebenarnya masih tidak dapat menampung kos sebenar secara keseluruhan. 

“Kebanyakan infrastruktur telah usang lebih kurang 60 tahun, banyak yang perlu ditukar. Walaupun ada geran dari pihak kerajaan, tapi masih tidak mencukupi. 

“SPAN telah membentuk satu jawatankuasa yang akan bekerjasama dengan jawatankuasa di Perlis. Mereka merangka satu pelan dalam tempoh dua tahun ini, ia dapat mengurangkan isu NRW yang berlaku serta penjimatan kira-kira RM8 juta,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN